Sunday 30 July 2017

Datuk bandar akui 2 PBT bayar RM39,088 kepada EBA

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif mengakui pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membayar RM39,088.10 kepada sebuah badan meragukan di United Kingdom yang didakwa menawarkan anugerah palsu, pada 2013 dan 2014.

Maimunah yang dipetik Sin Chew Daily bagaimanapun berkata, wang itu bukannya untuk membeli anugerah meragukan daripada Europe Business Assembly (EBA), sebaliknya ialah yuran penyertaan yang tidak termasuk tiket penerbangan dan kos penginapan.
Walaupun datuk bandar dibenarkan memilih tempat duduk kelas perniagaan, tetapi beliau dan Datuk Bandar MBPP ketika itu, Datuk Patahiyah Ismail hanya membeli tiket kelas ekonomi, demi menjimatkan wang pembayar cukai.
Advertisement

Katanya, beliau dan Patahiyah mendapat kebenaran kerajaan Pulau Pinang untuk menghadiri majlis penganugerahan itu di luar negara.
“Jika itu ialah anugerah palsu, saya minta maaf. Lain kali jika mahu menyertai atau dicalonkan sebarang anugerah, kami akan lebih berhati-hati,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini, sejurus kembali dari Sidang Kemuncak Datuk Bandar Asean di Manila.
Beliau berkata, pada 2013, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP kini dikenali sebagai MBPP) dicalonkan menerima anugerah “Best Cities” dan “Best Municipal Manager” dengan yuran penyertaan RM20,680.

“Pada 2014 pula, MPSP dicalonkan anugerah ‘Best City’ dan ‘Best City Manager’ dengan yuran penyertaan RM18,408.10.”
Pada Julai 2013, Patahiyah menerima anugerah “Best Municipal Manager” manakala MPPP pula menerima anugerah “Best Municipality” daripada EBA dalam majlis diadakan di Montreuz, Switzerland.

Pada Julai 2014, Maimunah yang merupakan yang dipertua MPSP ketika itu “memenangi” anugerah “Best City Manager” dalam majlis di Stresa, Itali.
MPSP pula menerima anugerah “Best City”, “Best Holiday Destination”, “Best Cities-Licence” dan “Top Medical/ Travel/ Hospitality Website” daripada EBA pada 2014.


MPPP dinaik taraf kepada MBPP pada 24 Mac 2015, selepas dipersetujui Kabinet.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata, mereka tidak tahu EBA ialah badan antarabangsa yang mengaut keuntungan melalui penjualan anugerah dan sijil palsu kerana tiada perkara mencurigakan ketika mereka menerima anugerah itu.

“Kami tidak menyedari sebarang perkara mencurigakan kerana bukan 2 PBT dari Pulau Pinang sahaja, PBT lain serta institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, orang ternama dari sektor swasta dan awam turut menerima anugerah EBA, malah bersama kami menerima anugerah itu.
“Harus ditegaskan bukan dasar kami untuk membelanjakan wang pembayar cukai membeli sebarang anugerah ataupun pengiktirafan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Berdasarkan laporan media tempatan, penerima anugerah EBA lain termasuk 3 universiti awam, iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Utusan Malaysia 25 Disember 2013 melaporkan Usim, UTeM dan UniMAP menerima anugerah “Universiti Serantau Terbaik” daripada EBA pada 2013, dengan naib canselor mereka memenangi “Pengurus Terbaik Tahunan” pada tahun sama.

The Times melaporkan EBA mengiklankan dirinya sebagai sebuah institusi Oxford untuk menjual “hadiah palsu” seperti “Anugerah Socrates Antarabangsa” dan “Anugerah Peringatan Permaisuri Victoria” sehingga £9,300 (RM52,000).

Laporan itu mendakwa EBA dikendalikan ahli perniagaan Ukraine yang menyasarkan syarikat dan pertubuhan di negara membangun dengan menjaja nama Universiti Oxford.
Universiti Oxford bagaimanapun menafikan mereka ada kaitan dengan EBA.

FMT

No comments:

Post a Comment