Sunday, 7 April 2019
'Saya tak akan berhenti'..
GOPENG: “Emak beritahu supaya terus mencari Acap dan jangan putus asa, sebab itu saya akan terus mencari adik saya sehingga jumpa,” kata Mohd Zahiruddin Hassan, 35, abang kepada Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau Acap peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak 23 Mac lalu.
Menurutnya, walaupun keadaan kesihatan emak, Siti Maznah Khamis, 62, ketika ini kurang baik tetapi dia tetap memberi semangat dan mahu turut sama turun mencari adik.
Katanya, cuma dia dan ahli keluarga tidak lagi membenarkannya untuk ke atas bukit dan mintanya tunggu di bawah.
Mohd Zahiruddin berkata, dia sudah meredah sungai dan bukit di kawasan itu termasuk Bukit Batu Putih untuk mencari adiknya itu tetapi hingga kini masih gagal menemui sebarang petunjuk.
“Walaupun setakat ini belum ada satu pun barang peribadi milik Acap ditemui di kawasan operasi pencarian tetapi itu bukan alasan untuknya berhenti mencarinya.
“Usaha saya tidak akan berhenti selagi adik belum dijumpai dan akan melakukan pelbagai ikhtiar sehingga dia dijumpai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Ketika ditanya mengenai pelbagai pihak termasuk sukarelawan yang ingin membantu mencari adiknya itu, Mohd Zahiruddin berkata, dia dan keluarga berterima kasih atas bantuan semua pihak.
“Kami sekeluarga berterima kasih dan berharap sukarelawan dan orang ramai membantu dengan ikhlas hati serta tidak mengharapkan sebarang ganjaran kerana kami bukannya orang senang yang boleh berikan ganjaran.
“Memang jasa semua pihak yang turun membantu ini tidak dapat kami sekeluarga balas sampai bila-bila, cuma Allah yang boleh membalasnya,” katanya.
Sementara itu, kawasan belakang dan keseluruhan Gua Tempurung di sini, menjadi tumpuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Acap, semalam.
Operasi itu membabitkan seramai 22 anggota termasuk empat pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Ketua Zon 1 JBPM Perak Mohd Khairul Jamil berkata, operasi pencarian itu adalah kali kelima dijalankan di kawasan Gua Tempurung.
Menurutnya, ia dijalankan semula di kawasan itu berdasarkan maklumat terbaru yang diterima oleh pasukan SAR.
“Penumpuan diberikan di kawasan Gua Tempurung untuk hari ini (semalam) dan kita akan terus berusaha untuk melakukan pencarian serta berharap mangsa dapat ditemui.
“Selain bomba, bantuan turut diperoleh daripada polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan Jabatan Perhutanan, bantuan sentiasa diberikan semua agensi.
“Apa yang membimbangkan masih belum ada petunjuk tepat lagi bagi mengesan mangsa,” katanya.
Mohd Khairul berkata, pihaknya turut menasihatkan sukarelawan yang sudah mendapatkan kebenaran polis untuk membantu melakukan pencarian supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.
“Selepas mendapat kebenaran polis, mereka perlu mengutamakan keselamatan kerana di dalam hutan terutamanya di pinggir hutan terdapat pelbagai binatang berbisa seperti ular dan lain-lain.
Anggota bomba sendiri ada menemui haiwan berbisa itu dan mengingatkan sukarelawan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di hutan,” katanya.
Kredit Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment