Monday, 8 April 2019
Pemuda UMNO, PAS, MCA, MIC cipta sejarah
REMBAU 8 April - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau turut mencipta sejarah apabila menyaksikan empat Ketua Pemuda berkongsi satu pentas ceramah malam tadi.
Kesemua mereka iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting; Ketua Pemuda MIC, R. Thinalan serta Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammmad Khalil Abdul Hadi hadir dalam program Pentas Pemuda yang diadakan di Kampung Sendayan di sini.
Asyraf Wajdi ketika berucap menzahirkan rasa bangga dan terharu apabila empat pemimpin utama Pemuda dapat dihimpunkan dan menganggapnya sebagai sejarah besar.
"Siapa sangka, Pemuda UMNO, MCA dan MIC serta Dewan Pemuda Pas boleh bersama buat pertama kali, ini tentunya betul-betul mengerikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Beliau orang yang paling takut apabila adanya penyatuan ummah UMNO dan Pas.
"Kita kena terus bersama dan berkerjasama dengan lebih kuat, kini ada tiga parti utama dalam BN, lepas ni kerjasama pula dengan Pas, insya-Allah, PRU-15, kita akan rampas semula kuasa dan kembali memimpin rakyat dengan lebih baik," katanya.
Menurut Muhammad Khalil pula, kejayaan menghimpunkan empat ketua pemuda dalam pentas yang sama adalah satu isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa anak muda sudah mula menolak parti itu.
"Menerusi agenda penyatuan ummah kami dari Pas memberikan komitmen sepenuhnya untuk kita memastikan perpaduan dan muafakat politik antara Pas dan BN terus utuh.
"Ia bagi demi menyelamatkan negara kita, mengalahkan PH serta saya percaya menerusi kerjasama ini akan membawa kita untuk memenangi Putrajaya pada pilihan raya umum yang akan datang, insya-Allah," katanya.
Sementara itu, jelas Siaw Ting, kehadiran pemuda dari UMNO, MCA, MIC dan Pas merupakan petanda anak-anak muda sudah mula sedar dengan kegagalan PH dalam menangani isu orang muda.
"Kita semua kena kerja kuat yang penting kita juga kena saling bekerjsama, PH kini mula rasa tekanan, dulu kita berpecah sedikit, mereka kata kita macam-macam, tapi sekarang kita sudah bersama, mereka sudah takut.
"Kita kini hanya ada satu objektif utama sahaja iaitu untuk membantu memenangi kerusi DUN Rantau dan dua atau tiga tahun nanti untuk menang dalam pilihan raya umum. Anak muda kena bangkit, saya harap saluran anak muda semasa PRK Rantau kali ini dapat memihak kepada BN," katanya.
Menurut Thinalan pula, kehadirannya dalam program itu juga sebagai tanda MIC turut mengalu-alukan dan memberi sokongan di atas agenda penyatuan ummah UMNO dan Pas selain menerima kehadiran Pas yang kini bekerjasama dengan BN terutama dalam PRK Rantau.
"Sebagai tanda hormat kepada kawan baharu kita iaitu Pas, saya telah memakai baju berwarna hijau malam ini, ia juga tanda penyatuan MIC dan Pas yang jambatannya telah dibina kedua-dua pemimpin tertinggi sebelum ini," katanya. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment