Tuesday, 2 April 2019

LARI bersama sudip dan senduk.. 😂


LARI bersama sudip dan senduk. Itu dilakukan seorang tukang masak selepas menyedari kedai tom yam tempatnya bekerja diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di Kampung Pertama, Permatang Pauh, semalam.

Dalam operasi bermula 2 petang itu, lelaki berkenaan sedang memasak hidangan dipesan pelanggan sebelum terkejut apabila menyedari kehadiran anggota JIM Pulau Pinang.

Dalam keadaan kelam kabut itu, tukang masak terbabit cuba melarikan diri melalui pintu belakang dengan membawa bersamanya sudip dan senduk, namun gagal apabila premis berkenaan sudah dikepung.


Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Izham Idris berkata, dalam Op Bersepadu itu, seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, serbuan itu ditumpukan di kawasan perumahan, beberapa restoran, kafe dan kedai makan tom yam sekitar negeri ini selepas pihaknya menerima aduan selain turut melakukan risikan.

“Ada antara pekerja di premis yang diserbu itu cuba melarikan diri, namun gagal kerana kita sudah mengepung kawasan terbabit.

“Mereka kemudian memberikan kerjasama baik dan hasil pemeriksaan mendapati pekerja ini tidak mempunyai dokumen dan permit yang sah,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya menahan 13 warga Thailand membabitkan sembilan lelaki dan empat wanita, dua lelaki Sri Lanka, seorang lelaki Myanmar dan dua wanita Indonesia.

“Semua PATI yang ditahan dibawa ke depoh tahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) 1959/63 dan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Kredit Harian Metro

No comments:

Post a Comment