Tuesday, 2 April 2019

Misteri Kancil lusuh, lelaki tak terurus..




GELAGAT lelaki misteri memandu kereta Perodua Kancil lusuh sekali lagi mencuri tumpuan apabila dia memandu melawan arus di Jalan Baru, Perai, Bukit Mertajam, semalam.

Tindakannya itu membuatkan anggota polis peronda bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai perbuatan pemandu terbabit yang dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4.30 petang dan anggota polis yang tiba di lokasi mengarahkan pemandu terbabit berpatah balik.

Menurutnya, pemandu kereta berkenaan mendakwa kenderaannya rosak dan anggota polis mengarahkan dia pergi ke sebuah bengkel membaiki kereta di Taman Mas tidak jauh dari lokasi dia ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kami dapati pemandu lelaki berusia 45 tahun dan berasal dari Raub, Pahang itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau dadah.

“Namun, kami mengeluarkan saman terhadapnya kerana cukai jalan serta lesen memandu tamat tempoh dan kesalahan tidak mempunyai nombor pendaftaran di hadapan dan belakang kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan terhadap lelaki terbabit dan pemeriksaan lanjut mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki yang tinggal di Tanjong Bungah, Georgetown.

Sebelum ini, gelagat lelaki misteri terbabit yang dilihat tidak terurus tular di laman sosial kerana dikesan memandu Perodua Kancil lusuh di beberapa kawasan sekitar SPT dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Kredit Harian Metro

No comments:

Post a Comment