Wednesday, 3 April 2019
Daniel Redha Tiada Kaki..
“KECACATAN ini memang menjejaskan kehidupan harian namun saya reda dan kuat untuk menghadapinya,” kata Danial Arief Ahmad Fuat, 22, yang kudung kedua-dua kaki hingga paras paha akibat kemalangan di tempat kerjanya iaitu sebuah kilang kitar semula di Korea Selatan, 19 November tahun lalu.
Menurutnya, dia kini perlu mendapatkan rawatan susulan lebih dua tahun sebelum dibenarkan keluar dari hospital.
Katanya, perbelanjaan rawatan di Korea Selatan ditampung keluarganya dan dia tidak mengetahui jumlah sebenar kos rawatan yang diterimanya.
“Semua dibayar ibu bapa saya dan mereka langsung tidak berkongsi jumlah kutipan bantuan yang diterima daripada orang ramai.
“Belanja harian dan kos rawatan saya di sini dikatakan mencukupi,” katanya yang kini mendapatkan rawatan fisioterapi di Hospital Ajoudae, Cheongju.
Namun, katanya, dia bersyukur kerana masih ramai rakyat Malaysia yang simpati dengan nasibnya dan menghulurkan bantuan dengan kata-kata semangat dan wang ringgit.
Menceritakan kembali kemalangan terbabit, Danial berkata, pada pagi hari kejadian, rutin hariannya adalah seperti biasa namun pelik kerana kasut keselamatan miliknya didapati hilang.
“Pagi sebelum kejadian juga, saya pergi mendapatkan rawatan di klinik kerana seminggu sebelum itu, kaki saya luka di betis terkena pisau hingga mengakibatkan luka yang teruk.
“Saya dibawa oleh penyelia wanita yang sudah dianggap sebagai ibu untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurutnya, sebaik pulang ke kilang pada jam 3 petang, dia mendapati mesin pengisar di kilangnya berhenti secara tiba-tiba.
“Mesin itu tidak beroperasi secara tiba-tiba walaupun sumber elektrik tersambung. Kami semua berasa hairan dan percaya ada sesuatu tersangkut di dalamnya.
“Saya bertanya kepada seorang operator di situ sama ada saya perlu turun atau tidak untuk memeriksa mesin pengisar itu,” katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.
Danial berkata, rakannya kemudian memberhentikan mesin sebelum dia turun memeriksa dan membuang sesuatu yang tersangkut di mesin.
“Tiba-tiba mesin itu kembali beroperasi dan kedua-dua kaki saya termasuk ke dalam pengisar dan ketika itu saya hanya mampu menjerit dan mengucap sebelum mesin terbabit dihentikan.
“Saya terasa seperti hendak mati dan kedua-dua kaki kebas, malah melihat sendiri daging paha saya tersembul keluar,” katanya.
Menurutnya, ketika itu dia masih sedar dan melihat rakan-rakannya yang lain di sekeliling mesin memandangnya sambil menangis.
“Saya ketika itu terlalu haus dan meminta air daripada mereka sebelum bomba dan ambulans, datang tiga minit kemudian.
“Kaki kanan saya hancur manakala kaki kiri saya tersangkut. Pasukan penyelamat kemudian membuat keputusan untuk memotong kaki saya,” katanya.
Menurutnya, selepas kakinya dipotong, dia dibawa ke Hospital Ajoudae untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, sebaik sampai di hospital, dia melihat ramai doktor bersiap sedia di dalam dewan bedah untuk melakukan pembedahan ke atasnya sebelum dia dibius dan tidak sedarkan diri.
Kredit Harian Metro.
Video Danial Di https://bit.ly/2FKElGY
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment