Saturday, 30 March 2019
Program lelongan dipantau SPRM..
“TIDAK wujud isu ‘booking’ atau kabel keluarga dalam proses bidaan, semuanya berlangsung secara terbuka dan telus,” kata Pegawai Perhubungan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Riduan Rayman berkenaan dakwaan liar sesetengah pihak kononnya proses lelongan kereta sita dianjurkan tidak telus.
Beliau berkata, isu tiada ketelusan atau wujud kabel ‘orang dalam’ ketika proses lelongan seharusnya tidak timbul kerana ia dilakukan dengan profesional dan sistematik.
“Pada hari lelongan juga, pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, dan beberapa pegawai integriti daripada JPJ sendiri akan berada di situ.
“Mereka akan memantau dan mengawal selia proses lelongan agar tidak berlaku salah laku atau melanggar undang-undang,” katanya ketika dihubungi tadi.
Menurutnya, 100 kereta yang akan dilelong pada 24 April ini juga masih belum dijual dan tiada individu yang dibenarkan membeli atau membuat tempahan lebih awal sebelum lelongan.
“Ini yang saya maksudkan, orang ramai selalu beranggapan wujud salah laku seperti penjualan kereta lebih awal dari tarikh lelongan dan sebagainya namun ia sebenarnya tidak boleh berlaku dan tidak akan berlaku.
“Kita berharap orang ramai tidak membuat dakwaan liar dan menuduh JPJ bersikap pilih bulu dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, susulan 150 naskhah buku lelongan yang habis dijual tempoh hari, pihaknya sudah menempah 750 naskhah buku lelongan tambahan dan akan dijual pada 4 April ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan sesetengah pihak berkenaan laporan muka depan Harian Metro hari ini yang kononnya proses lelongan kereta mewah disita JPJ yang dijalankan secara tidak telus.
JPJ negeri akan melakukan Karnival Lelongan Kenderaan Kereta Sita pada 24 April ini di pejabat mereka di Seberang Jaya membabitkan 100 kereta mewah yang ditahan ekoran tidak didaftarkan dengan sah.
Kredit Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment