Friday, 29 March 2019

Maut semasa dalam perjalanan mencari rezeki.. 😢


KEPALA BATAS 29 Mac - Seorang pekerja kilang tidak sempat tiba di tempat kerjanya selepas maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas sendiri di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini awal pagi tadi.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi tadi ketika mangsa, Idzhar Darus, 47, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di bahagian pulau.


Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Noorzainy Mohd. Noor, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangnya sebelum terbabas sendiri di lorong kecemasan.

Katanya, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Kepala Batas di sini untuk bedah siasat.

“Ketika kejadian keadaan masih gelap dan lokasi kejadian juga tidak mempunyai lampu jalan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai khususnya penunggang motosikal lebih berhati-hati di jalan raya bagi mengelak kemalangan yang bukan hanya boleh membahayakan diri sendiri tetapi pengguna jalan raya lain.

Kredit UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment