Wednesday, 27 March 2019

Imigresen gempur kilang gaji PATI di Bukit Tengah



Bukit Mertajam, 26 Mar - Sebuah kilang menghasilkan barangan kelengkapan troli yang terletak di Bukit Tengah menjadi kelam kabut apabila menyedari premis mereka diserbu oleh pihak berkuasa.

Melihat kehadiran pegawai imigresen memasuki kilang berkenaan ada pekerja yang cuba melarikan diri tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak boleh menghentikan mesin yang sedang beroperasi.





Seramai 58 orang pekerja warga asing telah diperiksa dengan 21 daripadanya telah ditangkap.

Lebih mengejutkan majoriti pekerja asing yang ditangkap itu tidak mempunyai dokumen perjalanan atau Pas yang sah dan juga melanggar syarat-syarat Pas yang diberikan.

Mereka yang ditangkap terdiri daripada 1 wanita Indonesia,  7 lelaki Bangladesh, 6 lelaki 4 wanita Myanmar dan 3 lelaki India.

Menurut Ketua Operasi Izham Idris, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati modus operandi kilang terbabit adalah menyulam pekerja asing yang mempunyai permit dengan yang tiada dokumen atau permit yang sah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya lagi, pihak kilang sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan memberikan peluang kerja kepada pekerja tempatan. Menggajikan pekerja asing tidak menjadi kesalahan tetapi wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.

Siasatan lanjut ke atas kilang terbabit sedang giat dijalankan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.


No comments:

Post a Comment