Friday, 8 February 2019
Sijil akademik palsu: PPBM Pulau Pinang pertahan, nyatakan solidariti terhadap Marzuki
PULAU PINANG 8 Feb. - Kesemua 13 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri ini berdiri teguh dan menyokong Pengerusi mereka, Datuk Marzuki Yahaya berhubung isu dakwaan sijil akademik palsu.
Setiausaha Agung Bersatu negeri, Azahari Aris berkata, sokongan mereka terhadap Marzuki selama ini bukan sepenuhnya kerana taraf pendidikan beliau, sebaliknya atas sikap kepemimpinannya sejak awal penubuhan parti itu di negeri ini sehingga ke hari ini.
Malah, ujar beliau, kesemua pemimpin Bersatu negeri ini turut berbangga apabila Marzuki dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.
Mengulas mengenai isu integriti, jelas beliau, parti politik tidak boleh disamakan dengan organisasi syarikat yang mana individu yang mahu menyertai politik tidak perlu melalui proses temuduga dan ditanya berkenaan kelayakan pendidikan.
"Dalam politik apabila pemimpin itu bagus dan masyarakat suka khidmat beliau, maka pemimpin itu akan diangkat ke kedudukan lebih tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Isu berkenaan sijil akademik Marzuki timbul selepas beliau yang juga Setiausa Agung Bersatu pusat pada awalnya dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.
Bagaimanapun selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh aktivis politik di negeri inu yang mempertikai kesahihan sijik akademik itu, Marzuki kemudiannya menjelaskan ijazah beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, kredibiliti Universiti Antarabangsa Cambridge, AS itu dipertikai kerana didakwa merupakan 'kilang' mengeluarkan sijil pendidikan yang tidak sah termasuk boleh dibeli.
Sementara itu, mengulas mengenai dua laporan polis yang dibuat terhadap Marzuki berhubung isu tersebut, Aris berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment