Thursday, 14 February 2019
Guna wang bermain judi kemudian dakwa disamun
BUKIT MERTAJAM 14 Feb. - Seorang pengurus stesen minyak yang mendakwa wang kutipan hasil kutipan jualan premis itu berjumlah RM35,000 disamun kelmarin menerima padah apabila dia ditahan polis semalam kerana membuat laporan palsu.
Suspek yang ditahan.
Wanita berusia 58 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang di stesen minyak Sungai Rambai di sini selepas siasatan lanjut dan soal siasat dijalankan oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, wang yang dikatakan disamun oleh seorang lelaki di kawasan parkir premis itu sebenarnya digunakan oleh wanita berkenaan untuk bermain judi dan menyambut Tahun Baharu Cina.
Katanya, polis telah membuat siasatan lanjut di tempat kejadian dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun mendapati tidak ada kejadian samun berlaku.
"Polis juga telah menjalankan siasatan awal terhadap suspek yang melaporkan beg tangannya telah dilarikan oleh suspek yang kemudiannya terus lari ke belakang stesen minyak tersebut.
"Namun di belakang tempat kejadian tersebut terdapat tembok zink yang tidak boleh dilalui oleh sesiapa malah CCTV juga telah disemak dan tidak nampak kelibat lelaki yang mencurigakan ketika kejadian," katanya di sini hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan motif mangsa membuat laporan polis bahawa dia telah disamun ialah kerana dia telah menggunakan sebahagian duit tersebut untuk bermain judi dan sambutan Tahun Baharu Cina iaitu kira-kira RM 16,100.
"Namun baki wang berjumlah RM18,900 disimpan oleh suspek sendiri di dalam stesyen minyak tersebut," katanya. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment