Wednesday, 27 February 2019

Cuaca panas bawa kesan kepada penjual kelapa di Penang


GEORGE TOWN, 27 Feb - Keadaan cuaca panas terik yang berlarutan di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini bagai menambahkan lagi rezeki untuk seorang penjual air kelapa muda di sini.

M. Joel Jeyachandran, 34, yang telah menjalankan perniagaan air kelapa muda sejak 11 tahun lepas berkata hasil jualannya telah meningkat sekali ganda ekoran musim kering yang berlarutan.

 “Pada musim seperti ini saya dapat menjual sekitar 600 biji kelapa sehari berbanding hanya dalam 300 biji sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Jalan Datuk Keramat di sini, hari ini.

 Seorang lagi pengusaha kecil, P. Rangal, 58, berkata permintaan untuk air kelapa muda yang dijualnya agak konsisten setiap masa pada purata jualan 200 biji sehari. Beliau mengakui jualannya meningkat ketika musim kering seperti ini tetapi peningkatannya tidaklah begitu banyak.

 “Kalau musim panas ini mahu kata (jualan) naik itu pun sedikit sahaja dalam 20 ke 30 biji. Kalau sudah musim hujan jualan turun tidaklah turun banyak,” katanya.

 Sementara itu, P. Saraswathy, 60, yang menjalankan perniagaan memborong kelapa menganggap faktor cuaca panas tidak semestinya membawa kesan yang positif dalam perniagaannya.

 Katanya biarpun banyak yang berpandangan permintaan untuk air kelapa akan meningkat semasa cuaca sebegini tetapi keadaan ini juga boleh menjejaskan pertumbuhan dan kualiti kelapa yang dibekalkan.

 “Setakat ini kenaikan permintaan (buah kelapa) ini belum nampak sangat. Naik pun adalah naik sedikit. Tak tahulah kalau cuaca panas ini berpanjangan,” katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment