Kira-kira 40 orang peniaga kecil-kecilan Bumiputera di Pasar Raya Besar Giant di Sungai Petani, kini buntu kerana bukan sahaja bakal hilang punca pendapatan tetapi turut mengalami kerugian besar apabila pasar raya tersebut bakal ditutup operasinya mulai 16 Februari ini.
Difahamkan kawasan tersebut bakal diambil alih oleh syarikat lain yang sehingga kini belum diketahui.
Para peniaga pula diberi tempoh sehingga 28 Februari ini untuk mengosongkan premis masing-masing.
Peniaga bakeri, Yusniza Yahaya, 42, berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar pasar raya berkenaan akan menamatkan operasinya, sebaliknya hanya mengetahui perkara tersebut daripada rakan-rakannya pada baru-baru ini.
Katanya, berikutan penutupan tanpa notis awal itu, telah menyebabkan dia mengalami kerugian besar.
“Saya telah menempah banyak barangan basah seperti biasa kerana tidak tahu-menahu hal sebenar. Sudah pasti ia akan rosak kerana tidak dapat lagi digunakan.
“Beberapa pekerja juga terpaksa saya berhentikan termasuklah pelajar praktikal daripada Kolej Pertanian Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdapat pelbagai jenis perniagaan dijalankan para peniaga di situ menerusi kiosk, petak niaga serta premis kekal seperti kuih-muih, alat telekomunikasi dan pakaian.
Yusniza sehubungan itu meminta mana-mana pihak khususnya wakil rakyat supaya tampil membantu masalah yang dihadapi oleh golongan berkenaan.
Peniaga pakaian, Salina Ilias, 40, berkata, dia terpaksa membuat jualan penghabisan stok terhadap produk jualannya dengan harga yang murah.
“Sekarang ini, mana-mana pembelian dua helai pakaian, akan mendapat percuma sehelai,” katanya yang berniaga di situ sejak 2010.
Berikutan penutupan operasi Pasar Raya Besar Giant tersebut, dia mengakui enggan lagi berniaga di situ meskipun mengetahui boleh memohon daripada pengurusan baharu nanti.
“Saya merancang untuk berpindah niaga di tempat lain pula, mulai bulan depan,” katanya.
Beberapa bulan lalu, Pasar Raya Besar Giant turut menutup pusat jualan kecilnya yang terletak di Parkson, Taman Sejati tidak jauh dari kawasan tersebut. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment