SEBERANG JAYA: Keluarga Moey Yun Peng yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke dalam laut, Ahad lepas, memohon pihak berkuasa menyiasat kejadian itu secara menyeluruh bagi memberi keadilan kepada mangsa.
Abang mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Dennis, berkata keluarganya menerima apa yang berlaku terhadap adiknya, Moey, 20, sambil berharap orang ramai tidak menyebarkan spekulasi mengenai kejadian itu agar tidak mengganggu siasatan.
"Kami serahkan kepada polis untuk menyiasat punca kejadian dan memohon diberikan ruang dan masa untuk bertenang," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya untuk menuntut mayat Moey, di sini Selasa malam.
SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey, seorang penuntut kolej swasta, dilaporkan hilang kawalan selepas berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios sebelum terhumban ke laut dari Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang pada 2.54 pagi, Ahad lepas.
Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan Selasa petang.
Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada 6.07 petang. – Bernama
No comments:
Post a Comment