Friday, 25 January 2019

22 Pekerja Asing Mangsa Aniaya Majikan di Selamatkan Polis Pulau Pinang




TIDUR di loteng dan berhimpit dalam ruang yang sempit.

Kesusahan itu terpaksa dihadapi sekumpulan pekerja wanita warga asing di kedai dobi sebelum mereka diselamatkan polis di empat premis di Bukit Mertajam, malam tadi.


Dalam operasi 9 malam diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Deputi Superintendan Mohd Hazazi Othman, seramai 22 wanita terdiri daripada 10 warga Indonesia dan 12 warga Kemboja berjaya diselamatkan.

Tinjauan wartawan dalam operasi itu mendapati pekerja hanya tidur beralaskan tilam nipis di loteng sempit dan ada antara mereka tidur di atas lantai dipenuhi baju disidai. Mereka langsung tidak dibenarkan berkomunikasi dengan orang luar dan hanya dibiarkan terperuk dalam bilik dan kedai dobi terbabit.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, operasi itu dilakukan susulan daripada risikan maklumat awam yang diterima pihaknya.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati semua pekerja itu dijanjikan wang gaji RM900 sebulan, namun ada antara mereka langsung tidak dibayar dan ada yang hanya dibayar separuh daripada gaji dijanjikan.
“Mangsa dipaksa bekerja lebih masa bermula 6.30 pagi hingga 9 malam dan langsung tidak diberi cuti.

“Selain itu, mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan keluarga mereka di kampung dan tidak diberi rawatan oleh majikan jika sakit," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, keadaan tempat tidur mereka agak daif dengan loteng diubahsuai di atas siling dengan keadaan sempit dan dipenuhi wayar elektrik dikhuatiri akan mengundang bahaya kepada mereka.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya menahan suami isteri yang juga majikan mangsa berusia 55 dan 60 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Semua mangsa pula akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Wilayah Tengah di Kuala Lumpur," katanya

Harian Metro


No comments:

Post a Comment