BALIK PULAU, 29 Nov - UMNO Pulau Pinang giat berusaha memastikan orang Melayu dan bumiputera meningkatkan pemilikan rumah dan hartanah di negeri ini.
Menyedari akan kekangan dan peratusan pemilikan rumah serta hartanah yang sangat rendah dalam kalangan bumiputera Pulau Pinang, UMNO negeri menerusi Jawatankuasa Focus Group (JKFG) Perumahan dan Hartanah Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang merangka pelbagai inisiatif bagi tujuan itu.
Antaranya Program Pembelian Hartanah, Pembangunan Tanah Wakaf, Program Sewa dan Milik, Pengekalan Hartanah Warisan Melayu dan Pembangunan Sistem Maklumat Geospatial.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata sebanyak 14 inisiatif strategik telah dirangka menerusi JKFG Perumahan dan Hartanah dengan agensi pelaksana utamanya terdiri daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), JKP Sdn Bhd dan Perda Ventures Incorporated (PVI) Sdn Bhd.
"Objektif utama JKFG Perumahan dan Hartanah ialah untuk mempertingkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan hartanah di negeri ini yang dilaksanakan dengan menyediakan rumah mampu milik dan membantu dalam pembiayaan perumahan terutamanya kepada kalangan bumiputera kurang berkemampuan," katanya kepada Bernama.
Muhamad Farid berkata JKP Sdn Bhd menyasarkan sejumlah 9,711 unit rumah kos rendah dan rumah mampu milik dapat disediakan hingga 2020 dan setakat ini sebanyak 3,727 unit rumah telah siap dibina manakala selebihnya sedang dan akan dibangunkan.
Beliau berkata Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 2012 pula telah memanfaatkan seramai 292 penerima dan daripada jumlah itu 265 penerima adalah daripada kalangan pembeli rumah dengan harga kurang RM100,000 iaitu pembeli rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.
Katanya tabung yang ditubuhkan dengan dana sebanyak RM14.59 juta itu menyasarkan golongan pekerja atau peniaga sendiri yang sukar untuk mendapatkan pembiayaan perumahan dari bank komersil.
Selain itu, Muhamad Farid berkata UMNO Pulau Pinang turut memperkenalkan konsep sewa dan milik menerusi PERDA bagi memudahkan pemilikan rumah kepada kumpulan sasar dalam kalangan berpendapatan rendah tanpa perlu menyediakan bayaran pendahuluan, yuran guaman seperti kelaziman proses pembelian rumah.
Sementara itu, beliau berkata Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang juga menjadikan pembangunan Sistem Maklumat Geospatial sebagai agenda untuk merancang pembangunan masa depan berikutan kekurangan dan kekangan data pemilikan hartanah di Pulau Pinang.
"Kekurangan dan kekangan data pemilikan hartanah di Pulau Pinang menjadikan keadaan agak sedikit sukar untuk merancang pembangunan yang mampu menjaga geopolitik negeri ini," katanya.
Pada masa sama, Muhamad Farid berkata pihaknya juga sedang menjalankan kajian mengenai kampung tradisi di negeri ini memandangkan pengekalan hartanah warisan Melayu turut menjadi inisiatif baharu yang akan dilaksanakan.
"Menerusi kajian ini kelak, kita akan mampu mengenal pasti kampung tradisi yang mungkin sepatutnya kita kekalkan demi kesinambungan warisan Melayu kita," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment