Friday, 24 November 2017

Tindakan DAP tidak demokratik, tidak menghormati pilihan rakyat.


PULAU BETONG, 24 Nov – Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pulau Betong Datuk Dr Sr Muhammad Farid Saad berkata, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengenepikan atau menghalang ADUN PKR-Kebun Bunga, Cheah Kah Peng untuk memperakui borang permohonan pampasan banjir adalah satu tindakan yang sangat tidak demokratik, dan tidak menghormati pilihan rakyat.
Soal beliau, adakah sikap Guan Eng ini memberi gambaran bahawa Dap sedang mengatur langkah untuk mengambil alih kerusi-kerusi DUN yang kini diwakili oleh PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti?
“Saya tidak hairan jika ADUN-ADUN Barisan Nasional (BN) tidak diberikan kuasa memperakui permohonan itu, tapi bila ADUN PKR iaitu rakan sekutu sendiri tidak dibenarkan juga ia adalah sesuatu yang agak janggal. Bukankah PKR adalah sebahagian dari kerajaan pakatan harapan di Pulau Pinang?
“Kenapakah tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh Cheah Kah Peng sebagai wakil rakyat Kebun Bunga diserahkan kepada ADUN Dap-Pulau Tikus pula?” kata beliau dalam satu kenyataan media.
Jelas Farid, pada pra-PRU ke-13 dulu, ada ‘cakap-cakap’ yang mendakwa Dap akan cuba mengambil alih dan bertanding di beberapa kerusi DUN yang diwakili PKR supaya Dap mendapat 21 kerusi DUN atau majoriti mudah di DUN Pulau Pinang. Mungkinkah agenda Dap itu kini dihidupkan semula?
“Sekiranya Dap ada majoriti mudah di DUN, Dap sudah tidak perlukan parti-parti lain untuk membentuk Kerajaan. Mungkinkah Dap sedang merangka pelan atau strategi untuk mendapatkan kuasa mutlak (absolute power) di Pulau Pinang? PKR dan PAN akan jadi seperti ‘melukut di tepi gantang’ sekiranya Dap ada 21 kerusi di DUN Pulau Pinang.
“Mungkinkah Dap sudah merasakan mereka cukup kuat untuk perintah Pulau Pinang maka sebab itu mereka sudah tidak perlukan rakan-rakan yang membantu mereka sewaktu mula-mula memperoleh kuasa pada 2008?
“Sekiranya ini benar, maka apa yang terjadi kepada Pas dahulu akan berulang kembali,” ujar beliau seterusnya.
Tambah Farid, anggapan bahawa pentadbiran Guan Eng tidak boleh dikritik semakin jelas dapat dilihat apabila suara yang mengkritik dianggap sebagai penentang.
“Mungkin itulah yang berlaku ke atas rakan saya PKR-Kebun Bunga Cheah Kah Peng; diketepikan kerana mengkritik Ketua Menteri dalam Sidang DUN Pulau Pinang. Sebelum ini, PKR-Penanti Norlela Ariffin juga diberi tekanan apabila dia menimbulkan isu operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu dalam DUN Penanti.
“Maka semakin terserlahlah sikap diktator pentadbiran Dap. Siapa sahaja yang mengkritik mereka walaupun rakan sekutu pasti akan menerima akibat buruk. Inilah yang dikatakan mereka ‘sebulu’ hanya untuk menjatuhkan pentadbiran BN namun hakikat sebenarnya mereka tidak pernah sekata,” bidas Farid lagi.

No comments:

Post a Comment