Monday, 27 November 2017

Perhimpunan Agung UMNO 2017, Medan Yakinkan Rakyat


KEPALA BATAS, 26 Nov - Perhimpunan Agung UMNO 2017 akan menjadi medan untuk menyakinkan rakyat supaya terus memberi mandat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata memandangkan ini perhimpunan terakhir UMNO sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), rakyat akan membuat penilaian terhadap parti mana yang mampu memberi tawaran yang terbaik untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Jadi banyak pengukuran akan dibuat oleh rakyat. Bukan UMNO sahaja, perhimpunan parti-parti lain juga. Rakyat buka mata dan telinga, mereka akan buat penilaian, akan melihat semua aspek termasuk aspek realiti," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir Parlimen Kepala Batas, di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 dijadual berlangsung dari 5 hingga 9 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata keutamaan UMNO dan BN buat masa ini adalah 'merawat' permasalahan yang menghimpit rakyat terutamanya membabitkan isu kos sara hidup akan menjadi intipati pada perhimpunan itu walaupun perkara itu telahpun diterjemahkan dalam pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Malahan saya difahamkan akan ada lagi pengumuman demi pengumuman yang akan dibuat perdana menteri dalam tempoh yang mendatang ini. Tapi apa yang saya dengar rata-rata rakyat agak gembira dengan pengumuman dalam bajet itu," katanya.

Berhubung persiapan UMNO Pulau Pinang menghadapi PRU14, Reezal Merican yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata UMNO dan BN negeri akan membuat perubahan untuk rakyat di negeri ini jika parti itu diberi mandat untuk mentadbir kerajaan negeri.

Beliau berkata rakyat perlu bijak menilai selepas melihat kepincangan dan isu-isu berbangkit yang masih belum dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP sehingga kini.

"Sebab rakyat tengok kepincangan, soal pembangunan tidak terurus, hartanah melambung tinggi, perumahan projek mampu milik yang tidak ada, kebajikan tertentu terabai...kami (UMNO dan BN) tidak perlu menguar-uarkan semua isu ini...rakyat sudah tahu," katanya.

No comments:

Post a Comment