GEORGE TOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta supaya tidak
berharap sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek-projek
Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam usaha menangani masalah banjir di negeri
ini.
Pengerusi
Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman
berkata kerajaan negeri pimpinan DAP itu sebaliknya perlu bekerjasama dengan
kerajaan Persekutuan terutamanya melibatkan peruntukan kewangan untuk
pelaksanaan projek-projek mitigasi banjir di negeri ini.
"Ada juga
peruntukan yang kerajaan negeri bagi sebelum ini dan diharapkan ia berterusan.
Jangan letakkan semua beban 13 projek mitigasi banjir di bawah kerajaan
Persekutuan. Kerajaan negeri juga ada dana dan hasil daripada penjualan tanah
kerajaan negeri.
"Mereka
juga perlu menggunakannya bagi projek mitigasi banjir di Pulau Pinang. Sebagai
contoh Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.
Kerajaan negeri boleh ambil 10 peratus daripada peruntukan PTMP untuk projek
RTB. Buat pelan pengangkutan awam yang hebat kalau banjir pun tak ada guna
juga," katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.
Beliau berkata
kerajaan persekutuan bersedia untuk mempertimbangkan peruntukan RM1 bilion bagi
projek RTB di negeri ini secara berperingkat mengikut kedudukan kewangan
negara.
Zainal Abidin
berkata Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan sebuah
jawatankuasa yang akan diwakili pihak yang berkaitan, antaranya Jabatan
Pengairan dan Saliran, untuk melihat senarai keutamaan membabitkan 13 projek
mitigasi banjir di negeri ini.
"Tentu
sekali kerajaan Persekutuan tidak boleh bagi sekali gus RM1 bilion, ia akan
datang secara berperingkat. Kita pun tak tahu berapa lama peringkat itu. Tapi
kita nak bagi senarai keutamaan, mana dulu (projek) yang boleh kita bawa dan
diperakukan untuk dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan Persekutuan.
"Kalau ini
kita dapat kemukakan dalam masa terdekat kita harap akan dapat maklum balas
segera daripada kerajaan Persekutuan dan projek ini kalau diluluskan pun ambil
masa untuk 'take-off'. Reka bentuk, panggil tender, penilaian dan sebagainya
akan ambil masa... ia bukan satu projek yang boleh dibina esok. Kita pun tak
nak buat secara tergesa-gesa," katanya.
Beliau berkata
buat masa ini pihaknya sedang dalam proses untuk memuktamadkan projek-projek
yang perlu diberi keutamaan sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk
perbincangan selanjutnya.
Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Pulau Pinang pada 7 Nov lepas
mengumumkan bantuan RM1 bilion untuk melaksanakan 13 projek mitigasi banjir di
negeri ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment