PULAU PINANG 3 Okt. - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak Kerajaan Pusat bertindak tegas dalam menghalang sebarang penganjuran festival arak termasuk Oktoberfest yang dirancang di negara ini.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, perkara itu bagi mengelak pesta seumpama itu berkembang dari tahun ke tahun disebabkan promosi yang lebih intensif oleh syarikat arak.
Menurutnya, CAP tetap dengan pendirian festival arak tidak sepatutnya dianjurkan di negara ini kerana selain bukan budaya Malaysia, pengambilan alkohol adalah haram di sisi Islam serta tidak diunjurkan dalam kalangan penganut Kristian, Buddha dan Hindu kerana memabukkan.
“Laporan Status Global mengenai Alkohol Pertubuhan Kesihatan Dunia 2004 melaporkan ramai remaja di negara ini mula mengambil minuman alkohol pada usia yang lebih awal.
“Dianggarkan rakyat Malaysia juga membelanjakan lebih daripada RM2 bilion setiap tahun untuk alkohol dengan 45 peratus belia Malaysia di bawah usia 18 tahun mengambil alkohol dengan kerap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, daripada semua dadah yang sah dan haram, alkohol jauh lebih meluas penggunaannya oleh remaja dan kajian kebangsaan mendapati ramai dalam kalangan mereka kerap meminum alkohol sehingga berlebihan.
Katanya, kecenderungan itu amat membimbangkan dan kebenaran penganjuran festival arak seolah-olah menunjukkan kerajaan menyampaikan isyarat salah kepada rakyat yang mana tidak mengapa untuk meminum alkohol dengan berlebihan.
“Di pihak industri alkohol pula, ia menarik orang ramai dengan iklan dan promosi, menggalakkan gaya hidup meminum alkohol yang pada hakikatnya membahayakan kesihatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment