PULAU PINANG 3 Okt. – Cadangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mahu menutup laluan Lebuh Cinta dan Lebuh Muntri di sini bermula dari pukul 7 malam hingga 4 pagi didakwa akan membebankan penduduk dan menggalakkan aktiviti tidak bermoral.
Pengerusi Penang Front Party, Datuk Patrick Ooi berkata, MBPP seolah-olah sengaja membuat cadangan tersebut untuk memberi tekanan kepada penduduk setempat supaya mereka berpindah ke kawasan lain sebelum kedua-dua laluan itu boleh didiami warganegara asing.
Katanya, kawasan yang memiliki banyak deretan rumah warisan itu kini telah dipenuhi dengan kehadiran warganegara dari Singapura, China dan Australia sehingga lewat malam sekali gus menganggu ketenteraman penduduknya.
“MBPP menggunakan alasan keselamatan lalu lintas untuk menutup jalan sedangkan rata-rata penduduk kawasan itu tidak bersetuju kerana menyukarkan pergerakan mereka malah cadangan itu seolah-olah menggalakkan operasi kelab hiburan di kawasan sekitar.
“Mereka sengaja memberi tekanan kepada penduduk, apabila semua mengambil keputusan keluar dari kawasan itu, banyak bangunan akan
kosong dan boleh dijual kepada pemaju asing dengan harga yang tinggi sehingga RM7 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
MBPP menerusi surat pekeliling bertarikh 4 September yang diberikan kepada penduduk dan pemilik premis kawasan itu memaklumkan cadangan penutupan laluan tersebut bagi mengurangkan gangguan lalu lintas serta meningkat keselamatan pelancong.
Sementara itu, Naib Pengerusi Parti Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, hampir 80 peratus premis dan bangunan warisan di Lebuh Cinta dijual kepada pemaju luar negara sebelum mereka menyewakannya kepada rakyat tempatan dengan harga antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.
“Penutupan Lebuh Cinta dan Lebuh Muntri ini dipercayai mempunyai agenda lain, jadi kita minta kerajaan negeri tidak memberi tekanan kepada penduduk yang menyebabkan mereka berpindah.
“Kerajaan negeri perlu utamakan rakyat yang memberi kepercayaan kepada mereka, jangan sewenang-wenangnya beri kebebasan kepada warga asing untuk memiliki aset di negeri ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment