Wednesday, 9 August 2017

Hutang jadi RM1.8 bilion jika Guan Eng batal penstrukturan air

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menerangkan bagaimana proses mengambil alih hutang kerajaan Pulau Pinang oleh Kerajaan Persekutuan, yang mempunyai kaitan dengan perjanjian penstrukturan air 2011.
Menurut Rahman, beliau berasa terkejut selepas Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak memahami situasi berkenaan.
“Perkiraannya sebenarnya mudah, hutang Kerajaan Pulau Pinang adalah RM687.8 juta pada 2010.
“Berikutan pada 2011, Kerajaan Persekutuan kemudian mengambilalih hutang RM655.24 juta dari jumlah itu dan menjadikan bakinya hanya RM32.55 juta atau 95 peratus pengurangan hutang.
“Bagaimanapun, Guan Eng tidak mengambil kira bahawa sebagai sebahagian dari perjanjian penstrukturan air 2011 itu dan Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan dana berbentuk geran berjumlah RM1.2 bilion untuk memperluaskan Empangan Mengkuang,” kata Rahman dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, hutang mereka dijangka kembali kepada RM687.8 juta dan mereka perlu membayar kembali geran RM1.2 bilion jika perjanjian penstrukturan air dibatalkan.
“Ini bermakna jumlah hutang Kerajaan Pulau Pinang akan menjadi RM1.8 bilion atau hampir  tiga kali ganda dari hutang RM687.8 juta sedia ada.
“Sebab itu mereka tidak mahu membatalkan perjanjian penstrukturan air 2011 itu biarpun saya mencabar mereka untuk berbuat demikian,” kata Ahli Parlimen Kota Belud itu.
Pada masa yang sama, Rahman mengucapkan terima kasih kepada Guan Eng disebabkan membuat pengakuan terbuka bahawa mereka menerima geran berjumlah RM1.2 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.
Terdahulu, Guan Eng dalam satu kenyataan mendakwa hutang yang dikembalikan sebenarnya dimiliki oleh kerajaan negeri BN sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada pilihanraya 2008.
Ahli Parlimen Bagan itu juga menegaskan bahawa proses mengambil alih hutang oleh Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan penstrukturan air negeri itu.


No comments:

Post a Comment