Tuesday 18 July 2017

Yuran Perundingan: Kerajaan DAP Pulau Pinang Buat Perkiraan Berganda



Yuran perundingan pembinaan lebuh raya menghubungkan terowong dasar laut dinyatakan Kerajaan Pulau Pinang disifatkan sebagai mengelirukan, selain membabitkan proses pengiraan dua kali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata analisis dengan Lembaga Jurutera mendapati semua butiran kos yuran projek berkenaan tidak tepat, sekali gus mencetuskan keraguan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyanggah kenyataan EXCO Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebelum ini bahawa kos RM177.5 juta yang dibayar kerajaan negeri untuk yuran reka bentuk terperinci tidak mahal, selain dikatakan turut merangkumi 10 komponen tambahan projek.

“Kebanyakan 10 komponen tambahan ini didapati adalah komponen sampingan, sama ada menerusi Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA), kajian kebolehlaksanaan atau reka bentuk terperinci.
“Tiga daripada 10 komponen ini adalah tanggungjawab Lembaga Jurutera selain kerja pembinaan struktur dan awam seperti reka bentuk terowong daratan serta reka bentuk elektrikal serta mekanikal yang yurannya ditanggung sepenuhnya oleh lembaga.
“Empat komponen lain iaitu DEIA, kajian impak sosial, kajian impak trafik dan kebolehlaksanaan kewangan serta pengurusan dana adalah sebahagian daripada kajian kebolehlaksanaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 24 Jun lalu, Chow Kon Yeow mendakwa kos yuran RM177.5 juta yang dibayar kerajaan negeri itu merangkumi pelbagai skop tambahan, termasuk DEIA dan beberapa laporan lain, sekali gus menafikan dakwaan projek terbabit terlebih bayar menjangkau 400%.
Chow Kon Yeow yang juga EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang pada sidang media mendakwa, kos terlebih bayar bagi projek berkenaan hanya 17.6%, berbanding 400%.
Bagaimanapun, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Pulau Pinang 2016 mengenai projek terowong itu mendedahkan yuran RM177.5 juta berkenaan tidak termasuk kos DEIA.
Fadillah berkata, pihaknya dan Lembaga Jurutera berpegang teguh kepada pendirian sebelum ini bahawa jumlah kos pembinaan tiga jalan berkenaan melangkaui garis panduan.
“Oleh itu, Chow Kon Yeow dinasihatkan supaya lebih teliti ketika memberi penjelasan mengenai butiran projek bagi memastikan masyarakat tidak keliru, sekali gus mengekalkan mutu industri pembinaan jalan raya di negara ini,” katanya.

wake up Malaya

No comments:

Post a Comment