BUKIT BENDERA, 17 Julai – Dalam Dap cuba berdolak-dalih atas arahan
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan semula pemilihan
Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), sesungguhnya rakyat Pulau Pinang khususnya
ahli Dap menuntut jawapan terhadap segala kekeliruan yang wujud sebelum ini.
Ketua Pergerakan Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata, sebelum Dap
terus menjadikan arahan ROS sebagai modal politik, maka adalah lebih baik
mereka menjawab beberapa persoalan penting berkaitan pemilihan CEC ini.
“Ada lima persoalan yang wajib Dap jawab… pertama, jumlah keseluruhan
perwakilan adalah 2,576 orang dan mengapa notis hanya diberikan kepada 1,726
orang dari cawangan Sijil A dan kedua, mengapa wujudnya 547 orang yang dikenali
sebagai pengundi ‘haram’.
“Ketiga, selama empat tahun kes ini dibiarkan oleh ROS, apakah yang Dap
lakukan sepanjang tempoh tersebut bagi menyelesaikan masalah ini.
“Keempat, bagaimana boleh wujudnya kesilapan mengira undi kononnya
berpunca daripada program computer ‘microsoft excel’ sehingga menyebabkan
Vincent Wu Him Ven yang pada awalnya menang telah dikalahkan dan Zairil anak
tiri Khir Johari dimenangkan sebagai ahli CEC ke 20,” ujarnya
Persoalan terakhir iaitu kelima yang perlu dijawab oleh Dap adalah
apakah kriteria yang digunapakai oleh Dap sehinggakan Liew Chin Tong yang
mendapat undi popular tertinggi sekali iaitu 1,438 undi tetapi beliau tidak
dapat memegang jawatan terpenting dalam parti dan amat memalukan adalah Lim Guan
Eng masih memegang jawatan Setiausaha Agung Dap walaupun beliau hanya sekadar
di tangga kelima sahaja.
“Inilah lima persoalan penting yang harus dijawab oleh Dap sebelum
mereka terus mempolitikkan isu pemilihan CEC ini.
“Jadi sebelum mereka sibuk mencari salah kerajaan pimpinan Barisan
Nasional (BN) maka adalah lebih baik bersihkan dahulu halaman sendiri sebelum
sibuk membersihkan halaman orang,” sindir Rafizal.
Berikut adalah kronologi permasalahan CEC;
15 Disember 2012 – Kongres Nasional Dap untuk memilih 20 ahli
Jawatankuasa CEC yang baharu telah menyaksikan kesemua calon Melayu ditolak
oleh wakil-wakil yang hadir di majlis tersebut.
3 Januari 2013 – Selepas tiga minggu, Dap mengeluarkan kenyataan
kononnya berlaku kesilapan teknikal dan menyalahkan program komputer Microsoft
Excel. Alasan ini diberikan kerana pemilihan CEC yang awal dipertikaikan oleh
ahli sendiri. Tindakan Dap itu dikutuk kerana parti cauvinis itu hanya
‘memperbetulkan’ pemilihan CEC setelah didesak dan terbukti parti itu rasis
kerana tiada seorang pun Melayu berjaya merebut 20 jawatan CEC.
Vincent Wu Him Ven yang pada awalnya menang telah dikalahkan manakala
Zairil anak tiri Khir Johari dimenangkan sebagai ahli CEC ke 20.
17 April 2013 – ROS mengeluarkan notis kepada Dap setelah menerima aduan
penyelewengan ketika pemilihan itu. Ahli-ahli Dap membuat laporan kepada ROS
tentang wujudnya penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian. Di antara
yang dilaporkan :
a. Dap gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota
sah dan layak mengundi pada pemilihan CEC pada 15 Disember 2012.
b. Wujud 547 perwakilan ‘haram’ yang kebanyakannya dari Pulau Pinang
yang telah diarah mengundi nama-nama tertentu.
c. Dap didesak untuk memberi senarai 2,576 ahli, cawangan dan alamat,
senarai 1,740 ahli yang berhak hadir dan mengundi beserta cawangan
masing-masing, senarai 985 cawangan yang telah diberi status Sijil A dan
salinan notis kepada 2, 576 ahli selain nama cawangan dan alamat di mana ia
dihantar.
d. 851 daripada 2,576 perwakilan tidak hadir dan mengundi semasa
pemilihan semula CEC dan secara misteri muncul pula 120 cawangan tambahan yang
hadir dan pengundi diwakili oleh 450 perwakilan. Ini bermakna 1,301 perwakilan
asal tidak hadir untuk mengundi.
17 Jun 2013 – ROS meminta Dap mengemukakan keterangan dan bukti mengenai
silap kira undi pada Disember 2012. Pendaftar ROS berkata ia adalah untuk
mengenal pasti sama ada silap kira undi tersebut berlaku atas sebab ‘computer
glitch’ atau satu penyelewengan.
30 Julai 2013 – ROS mengarahkan Dap mengadakan pemilihan semula CEC dan
memaklumkan ia tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti
itu berhubung isu penyelewengan undi pada pemilihan CEC dan isu manipulasi undi
membabitkan 547 perwakilan.
5 Ogos 2013 –ROS mendedahkan bahawa dakwaan pemimpin Dap yang mereka
telah memberi kerjasama penuh kepada ROS adalah tidak tepat kerana sepanjang
siasatan mereka sering meminta penundaan tarikh atau memendekkan masa proses
siasatan atas alasan sibuk dengan hal politik kepartian mereka.
Puak Dap ini juga sering kali menangguhkan penghantaran maklumat yang
diperlukan ataupun tidak menyediakannya walaupun perkara itu telah dinyatakan
kepada mereka lebih awal. ROS juga mendedahkan bahawa mereka telah mengambil
sikap yang terlalu ‘humanistic’ menguruskan pemimpin Dap walaupun beberapa kali
difitnah khususnya sepanjang Pilihan Raya Umum yang lepas atas dasar politik.
ROS menyifatkan keengganan Dap mematuhi keputusan ROS sebagai sangat
mendukacitakan.
13 September 2013 – Pemilihan semula Jawatankuasa CEC Dap yang dijadual
pada 29 September 2013 didakwa tidak mengikut perlembagaan parti dan perlu
ditangguh sehingga semua isu berkaitan pemilihannya yang asal selesai – bekas ADUN
Teratai, Jenice Lee Ying Haa
29 September 2013 – Pemilihan semula CEC Dap. Liew Chin Tong mendapat
undi popular tertinggi sekali iaitu 1,438 undi tetapi beliau tidak dapat
memegang jawatan terpenting sekali dalam Dap.
Yang amat memalukan ialah Lim Guan Eng masih memegang jawatan Setiausaha
Agung Dap walaupun beliau hanya sekadar di tangga ke-lima sahaja.
4 Disember 2013 – Surat Pendaftar ROS kepada Pengerusi Dap Kedah yang
mengatakan bahawa CEC Dap masih belum diiktiraf oleh ROS.
6 Disember 2013 – ROS hantar surat kepada Dap untuk mengemukakan laporan
lengkap pemilihan semula CEC termasuk 985 cawangan yang telah diberi status A
dan juga salinan asal 500 surat yang ditandatangani oleh perwakilan tidak
hadir.
11 Disember 2013 – ROS melaporkan isu CEC akan terus berada dalam
kedudukan tergantung sehingga Dap mengemukakan laporan berhubung Kongres Khas
dan pemilihan semulanya. Pihak ROS tidak dapat membuat sebarang keputusan
tentang kesahihan CEC yang dipilih semula ekoran Dap menghantar laporan tidak
lengkap.
18 Februari 2014 – ROS dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha
Agung Dap meminta Dap senaraikan 985 cawangan yang diberikan dengan sijil A
kerana dokumen itu belum diserahkan kepada ROS. ROS juga meminta parti untuk
memberikan senarai penuh semua perwakilan dari 985 sijil A cawangan yang
menghadiri pemilihan CEC awal pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada
29 Sept 2013.
Dap juga diminta untuk salinan asal 500 surat yang ditandatangani oleh
perwakilan yang tidak dapat menghadiri mesyuarat pada 15 Disember 2012.
23 September 2014 – Dap mengambil keputusan untuk tidak meneruskan
permohonan semakan kehakiman bagi memaksa ROS supaya mengiktiraf pemilihan
semula CEC dalam Kongres Khas parti itu pada 29 September 2013.
27 September 2014 – Wee Choo Keong, bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju
telah mendedahkan:
a. Semasa pemilihan CEC pada 15 Disember 2012, pihak urus setia Dap
mengisytihar jumlah cawangan yang hadir adalah 865 cawangan. Semasa pemilihan
semula CEC pada 29 September 2013, pihak urus setia Dap, Ong Kian Meng pula
isytihar jumlah cawangan yang hadir adalah 985 cawangan.
b. Ternyata 120 cawangan baharu yang belum didaftar secara sah telah
hadir pada pemilihan semula CEC pada 29 September 2013.
3 Oktober 2014 – ROS membuat penafian pernah mengiktiraf pemilihan CEC
Dap sebagai sah. ROS turut mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh Dap itu dan
tertanya-tanya bagaimana parti tersebut boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian
kepada mahkamah.
ROS akan menyiasat perkara tersebut seterusnya menjawab isu 120 cawangan
Dap tidak mendaftar dan mengundi pada pemilihan semua CEC parti itu.
7 Oktober 2014 – RoketKini mendakwa ROS telah akhirnya tewas dan
kononnya ‘mengiktiraf Dap adalah sah’.
19 Oktober 2014 – Anthony Loke mendakwa senarai perwakilan yang layak mengundi
dalam pemilihan semula adalah senarai yang sama yang digunapakai dalam
pemilihan Kongres Kebangsaan DAP pada 15 Disember 2012.
19 Mac 2015 – Dalam jawapan bertulis kepada Anthony Loke, Menteri Dalam
Negeri berkata siasatan ROS terhadap Dap masih berjalan, hal ini kerana jabatan
berkenaan masih menerima aduan baharu walaupun pemilihan semula telah diadakan.
9 Julai 2015 – Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ROS mempunyai
kuasa untuk menyelesaikan pertikaian parti di bawah Seksyen 16 Akta dengan pengecualian
mahkamah.
6 Oktober 2015 – ROS menegaskan bahawa status CEC Dap masih belum
mendapat pengiktirafan. Ini kerana proses itu masih di peringkat pertimbangan
dan siasatan.
29 Oktober 2015 – ROS masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Dap
berikutan pemilihan semula parti itu yang diadakan pada 29 September 2013.
Kenyataan ini dibuat oleh DS Ahmad Zahid Hamidi untuk menjawab soalan Loke Siew
Fook yang meminta beliau menyatakan status siasatan ROS terhadap Dap.
19 Mei 2016 – DS Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis di Dewan
Rakyat bahawa ROS tidak berpuas hati dengan dokumen yang disediakan oleh Dap.
ROS masih menyiasat pemilihan semula kerana ia perlu menganalisis
dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh Dap. Ini kerana terdapat percanggahan dalam
kandungan dan kebenaran dokumen itu.
19 Julai 2016 – Dap tangguh pemilihan CEC yang sepatutnya 29 September,
tetapi perlembagaan parti membolehkan pemilihan dalaman itu ditangguhkan
sehingga 18 bulan.
26 November 2016 – KDN dan ROS didesak mengumumkan hasil siasatannya
terhadap Dap berhubung status terkini parti berkenaan susulan dakwaan
berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pemilihan parti.
23 Mei 2017 – Satu memorandum bagi mendesak ROS memberi surat tunjuk
sebab kepada Dap mengapa pendaftaran Dap tidak boleh dibatalkan dan seterusnya
membatalkan pendaftaran Dap jika Dap gagal memberi representasi yang memuaskan.
Memorandum ini disokong oleh ahli-ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti
tempatan.
7 Julai 2017 – Jabatan ROS akan mengeluarkan arahan meminta Dap
mengadakan pemilihan semula CEC kerana pelantikan 20 anggota CEC daripada
pemilihan semula pada 29 Sept 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.
Pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada
senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC Dap
bertarikh 15 Dis 2012 yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.
No comments:
Post a Comment