Thursday 25 May 2017

Pos Malaysia sasar peningkatan pendapatan RM50 juta melalui My Distribution

SHAH ALAM 24 Mei - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menyasarkan peningkatan pendapatan sehingga RM50 juta tahun ini melalui perkhidmatan baharu yang diperkenalkannya iaitu My Distribution.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, My Distribution menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan dengan berat minimum 30 kilogram ke seluruh negara dengan kadar serendah 50 sen sekilogram.

Menurutnya, My Distribution ialah platform yang paling sesuai bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan logistik dengan kadar berpatutan untuk menghantar barangan.

"Perkhidmatan ini turut membantu para pelanggan yang mahukan khidmat penghantaran yang boleh dipercayai dengan kos efektif.

"Saya percaya komuniti perniagaan seperti industri kecil dan sederhana (IKS), syarikat perdagangan, pemborong, pengeluar dan logistik akan memperoleh manfaat daripada perkhidmatan ini," katanya dalam majlis pelancaran My Distribution di sini hari ini.

Mohd. Shukrie memberitahu, My Distribution juga mempunyai akses 24 jam kepada status terkini kiriman barang, bukti penghantaran, perlindungan insurans sehingga RM100,000 dan khidmat pungutan percuma.

"Standard masa penghantaran pula ialah sehingga empat hari bekerja bagi Semenanjung Malaysia dan tujuh hari bekerja bagi Sabah dan Sarawak.

"Apa yang pastinya, pengenalan perkhidmatan ini ialah satu daripada strategik inisiatif Pos Malaysia dalam mempelbagaikan dan mengukuhkan produk serta perkhidmatan kami selain memaksimumkan penggunaan aset," ujarnya. - UTUSAN ONLINE

sumber : utusan.com.my

No comments:

Post a Comment