Thursday 8 December 2016

Pihak Pertikai SOSMA Hanya Cuba Main Politik


PULAU PINANG, 8 Dis  – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin membidas pihak yang terus mempertikaikan Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA) dan menyifatkan ia dilakukan hanya bermotifkan politik semata-mata.

Menurut beliau, pihak yang secara berterusan mengkritik SOSMA itu tidak lain hanyalah bertujuan untuk meraih keuntungan politik, sedangkan hakikatnya SOSMA itu adalah lebih baik dan menjamin hak-hak tahanan berbanding dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

“Sepatutnya isu SOSMA ini tidak lagi perlu dipertikaikan kerana perubahan akta keselamatan yang dibuat oleh kerajaan hari ini jauh lebih adil dan lebih menjamin hak-hak tahanan berbanding dengan ISA sebelum ini.

“Jadi bagi saya, pihak-pihak yang secara berterusan mempertikaikan SOSMA ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah bermotifkan politik semata-mata. Saya tidak nampak ada motif lain selain dari itu,”

Beliau seterusnya mengulas kenyataan pihak tertentu, termasuk mantan Perdana Menteri yang mendakwa kerajaan telah menyalahgunakan SOSMA dengan menahan pengerusi Bersih, Maria Chin baru-baru ini.

“Ya, ada bekas pemimpin kita yang mendakwa kerajaan mungkin janji kerana telah menahan pengerusi Bersih, Maria Chin di mana kata beliau, kerajaan telah berikrar sebelum ini bahawa SOSMA tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana pihak di bawah SOSMA kerana kepercayaan atau aktiviti politik mereka.

“Namun bagi saya penahanan Maria Chin itu bukanlah kerana penglibatan atau kepercayaan politik yang beliau anuti, tetapi penahanan Marina adalah disebabkan tindakan beliau yang menganjurkan demonstrasi demi demonstrasi yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan serta ceramah-ceramah beliau yang penuh dengan provokasi yang boleh menimbulkan sentimen ketegangan kaum di negara ini.

“Apatah lagi ada dakwaan bahawa Maria juga terlibat dengan agenda asing yang dilihat cuba campur tangan di dalam politik negara dengan menganjurkan demonstrasi Bersih, yang amat jelas menganggu gugat ketenteraman negara dan bertujuan menggulingkan kerajaan yang sedia ada hari ini juga mungkin merupakan salah sebab beliau ditahan,” tegasnya lagi.

Justeru itu kata Jasmin, tidak timbul soal kerajaan mungkir janji untuk tidak menahan mana-mana individu kerana kepercayaan dan aktiviti politik mereka kerana penahanan Maria bukanlah disebabkan kepercayaan dan aktiviti politik beliau.

“Kerajaan mewujudkan akta SOSMA  adalah bertujuan untuk mengekang sebarang aktiviti yang berhubung kait dengan keganasan, perkauman dan juga aktiviti-aktiviti lain yang boleh mengancam kedaulatan dan keamanan negara ini.

“Dan yang lebih penting lagi, SOSMA tidak berada di bawah kuasa ahli politik mana-mana parti sekalipun sebaliknya diterajui oleh jawatankuasa SOSMA yang dilantik diluar kalangan ahli politik di mana keputusan mereka untuk menahan dan atau menuduh itu lebih telus dan adil tanpa berpaksi mana-mana parti atau pemimpin politik.

“Jadi dalam isu penahanan Maria Chin ini, dakwaan sesetengah ahli politik dan pihak tertentu yang mendakwa kerajaan telah menyalahgunakan SOSMA  untuk memberikan tekanan terhadap ahli politik, khususnya yang menentang arus itu adalah tidak benar sama sekali,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment