Sikap rakus sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab bakal membawa malapetaka kepada semua.
Akibat berkiblatkan nafsu serakah mengejar kemewahan, alam semulajadi diratah lahap. Seperti yang sedang berlaku di perairan Pulau Mutiara ketika ini.
Aktiviti menambak laut tanpa kawalan sedang berlaku sementara pihak berwajib seolah-olah memejamkan mata, malah seperti memberi lampu hijau pula.
Bukan untuk memberi manfaat atau memelihara alam semulajadi sebaliknya kegiatan menambak laut ini bertujuan memberi laluan kepada projek mega yang hanya menguntungkan pihak
tertentu.
Secara tepatnya, seluas 2,600 hektar laut dikorbankan demi menjayakan projek mega seperti pembinaan kediaman mewah, pusat komersial dan hotel.
Untuk makluman pembaca, pakar di dalam bidang Biologi Marin ada mengatakan bahawa kegiatan menambak laut secara berleluasa ini akan mengakibatkan bencana banjir lumpur, tsunami
dan mengundang penyakit-penyakit kronik.
Pensyarah Biologi Marin di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Zulfigar Yasin seperti dipetik Berita Harian hari ini, 6 Disember 2016 mengatakan,
keadaan alam sekitar di Pulau Pinang umpama bom jangka yang bakal meletup pada bila-bila masa.
Aktiviti menambak laut ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar tetapi juga ekosistem manusia secara keseluruhannya. Ia juga boleh menyebabkan air kumbahan tidak dapat diuruskan dengan
baik, pertukaran aliran air sementara makanan laut juga akan mengandungi logam berat.
Jelas kegiatan menambak laut secara lahap ini tidak membawa manfaat kepada sesiapa melainkan pihak yang menjalankan aktiviti tersebut.
Mengorbankan alam semulajadi semata-mata mahu memenuhi nafsu serakah bukanlah satu isu yang boleh dipandang ringan. Ia tidak adil untuk generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment