Tuesday 25 October 2016

Penyalahgunaan Daun Ketum


Pokok ketum atau pokok biak atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa adalah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia hidup subur di kawasan bertanah lembap yang mempunyai kandungan humus yang tinggi. Kebanyakannya ditemui tumbuh secara liar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung.

Batang pokok ketum berkayu keras dan bercabang. Ketinggian pokok ketum boleh mencapai sehingga 25 meter dan garis pusat batang pokok boleh mencapai sehingga 1 meter. Bahagian yang digunakan daripada pokok ketum adalah daunnya.


Penggunaan Daun Ketum Secara Tradisional

Daun ketum telah digunakan secara tradisional untuk mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan tenaga untuk melakukan kerja berat. Malahan, air daun ketum juga dikatakan telah digunakan sebagai ubat tradisional untuk merawat penyakit tertentu seperti merawat sakit belakang, demam, batuk dan penyakit cacing serta sebagai penawar diabetes, darah tinggi dan lain-lain.


Penyalahgunaan Daun Ketum

Air daun ketum telah disalahgunakan oleh penagih dadah kerana ianya mengandungi bahan-bahan psikoaktif mitragynine yang memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria yang boleh menyebabkan penagihan.



Bahan Kimia Dalam Ketum

Daun ketum mengandungi bahan aktif mitragynine iaitu sejenis alkaloid psikoaktif. Bahan ini dikawal dibawah Akta Racun 1952 dibawah peraturan kawalan psikotropik. Terdapat juga 24 bahan lain yang terkandung didalam ketum antaranya ajmalin, corynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine.

Kesan Ketum
Kesan pengambilan mitragynine yang berlebihan:
  • Rasa khayal (euforia)
  • Rasa pening
  • Mengantuk
  • Muntah
Kesan buruk pengambilan ketum secara berterusan:
  • Mengakibatkan ketagihan
  • Bibir dan kulit jadi kehitaman seperti kesan lebam dan terbakar terutama di pipi
  • Kulit menjadi kering
  • Sembelit
  • Insomnia


Undang-Undang Yang Mengawal Ketum

Mitragynine iaitu bahan aktif dalam air daun ketum adalah bahan psikotropik yang dikawal di Malaysia. Mitragynine disenaraikan dalam Jadual Ketiga Racun (Bahan-Bahan Psikotropik), Akta Racun 1952.

Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, adalah satu kesalahan bagi aktiviti pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik yang tersebut.

Hukuman Kesalahan menggunakan Ketum
Jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan di bawah Seksyen 30(5) Akta Racun 1952, iaitu denda tidak melebihi RM 10,000 atau 4 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Rujukan
  1. Poisons Act 1952
  2. Poisons (Psychotropic Substances) Regulations 1989

1 comment:

  1. I am happy to find this post very useful for me, as it contains a lot of information. I always prefer to read the quality content and this thing I found in your post. Thanks for sharing it. Super Green Malaysian Kratom Powder Online

    ReplyDelete