Konfrontasi antara Bersih dan kumpulan Baju Merah dengan mudah boleh diselesaikan jika kedua-duanya berhenti menganjurkan demonstrasi jalanan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed.
Ini juga boleh menjadi langkah terbaik kerana Bersih seolah-olah hilang keupayaan menarik orang ramai, katanya.
“Bersih sekarang sudah terdesak, perhimpunan mereka tidak dihadiri ramai orang seperti sebelum ini. Saya rasa orang ramai sudah hilang minat.
“Jika Bersih tidak menarik orang ramai, mereka perlu berhenti.
“Jika mereka berhenti, kumpulan Baju Merah akan berhenti. Kumpulan Baju Merah berhenti, tidak ada masalah,”kata Jazlan kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan mengenai perbalahan antara “kuning” dan “merah”, yang menjadi tidak terkawal apabila beberapa wartawan dan penyokong Bersih diserang secara fizikal kumpulan Baju Merah.
Pertembungan ganas berlaku di beberapa perhimpunan Bersih yang diadakan di seluruh negara memandangkan pemantau pilihan raya itu menuju ke kawasan luar bandar dan separa bandar berkaitan himpunan 19 November.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini menerima kritikan kerana berdiam diri mengenai kumpulan pro-Umno, Baju Merah yang dikatakan sebagai tanda sokongan.
“Apa yang mereka (Bersih) lakukan adalah salah; apa Jamal yang dilakukannya adalah juga salah.
“Jika anda mahu polis mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka, kami boleh,” kata Nur Jazlan sebagai respons kepada perkara ini.
“Tetapi kita mahu menyelesaikannya secara baik. Polis hanya bertolak ansur dengan apa yang berlaku sekarang kerana ia adalah satu tindakan politik.
“Anda melanggar undang-undang, anda akan dipenjarakan tetapi dalam politik, jika anda membuat kesilapan, tindakan apakah yang boleh diambil terhadap anda?”
No comments:
Post a Comment