Ahli Pemuda Umno dibenarkan menyertai perhimpunan anjuran gerakan Baju Merah, tetapi tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang menyertai perhimpunan Bersih 5, bulan depan, kata Khairy Jamaluddin.
“Mereka boleh sertai (himpunan) Baju Merah, selagi tidak melanggar undang-undang.
“Nasihat saya adalah tidak menimbulkan kekacauan di Kuala Lumpur seperti yang berlaku pada perhimpunan Bersih sebelum ini, di mana pegawai polis cedera, kedai dirosakkan. Saya gesa polis tidak membenarkan perhimpunan Bersih diteruskan,” kata ketua pemuda Umno itu yang dilaporkan Bernama, semalam.
Bersih 2.0 mengumumkan akan mengadakan perhimpunan Bersih 5 di Dataran Merdeka, pada 19 November ini, bagi mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pembaharuan politik.
Gerakan Baju Merah yang diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos turut mengumumkan himpunan balas akan diadakan terhadap Bersih 5.
Khairy yang berada di Terengganu untuk menghadiri acara Pemuda Umno di Tasik Kenyir berkata, sayap itu akan meningkatkan usaha mendaftar lebih 100,000 ahli sebagai pengundi.
“Kami mahu meningkatkan sokongan generasi muda terhadap Umno dan BN. Kami (Pemuda Umno) akan membincangkan beberapa strategi untuk menambah bilangan pengundi berdaftar daripada kalangan ahli-ahli belum mendaftar.
“Golongan muda (yang tidak berdaftar) terdiri daripada anak-anak muda mempunyai saudara-mara yang menjadi ahli Umno.”
No comments:
Post a Comment