Wednesday, 26 October 2016

Ekonomi Pulau Pinang : Gerakan Mahukan Jawapan


GERAKAN kecewa dengan tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penang, Dr Lim Kim-Hwa yang enggan menjawab 10 soalan yang dikemukakan parti itu berhubung Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Liang Teck Meng, berkata rakyat Pulau Pinang berhak mengetahui jawapan mengenai keadaan sebenar ekonomi negeri itu termasuk pertumbuhan KDNKnya.
Katanya, Institut Penang dibiayai wang rakyat negeri itu dan bukannya Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

 "Justeru, institut berkenaan mempunyai tanggungjawab menjawab sebarang soalan berkaitan ekonomi negeri terbabit dengan jujur bagi kepentingan rakyatnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 Teck Meng berkata, pertikaian itu bermula dengan tindakan Guan Eng sendiri yang turut sama membabitkan Kim-Hwa dan Institut Penang dalam pertikaian antaranya dengan Ketua Menteri itu.

 Katanya, Guan Eng menolak laporan diberikan beliau yang mengatakan pertumbuhan perkapita KDNK Pulau Pinang adalah paling perlahan berbanding 15 negeri lain antara tahun 2008 hingga 2015 sebagai lapuk. "Guan Eng kemudian menunjukkan laporan disediakan Institut Penang yang melaporkan negeri itu ketiga paling perlahan dari segi pertumbuhan perkapita KDNK untuk tempoh sama.

 "Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming dari DAP juga menunjukkan laporannya menyatakan dari tahun 2011 hingga 2015, Pulau Pinang yang keempat paling perlahan dari segi pertumbuhan perkapita KDNK berbanding 15 negeri," katanya.

Sehubungan itu, katanya, disebabkan tindakan Guan Eng menolak laporannya, beliau berharap Kim-Hwa dapat membantu mereka menyelesaikan pertikaian terbabit dengan menyediakan jawapan benar dan tepat.
 "Tiada alasan jika Institut Penang boleh membantu Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dan seorang ahli politik menjawab soalannya tetapi enggan menjawab soalan saya.

"Demi integriti institut dan rakyat Pulau Pinang yang membiayai anda, saya mendesak Kim-Hwa menjawab 10 soalan asal saya. Kami berhak tahu jawapannya. "Selain 10 soalan itu, saya juga meminta Institut Penang menjawab dua lagi soalan dicetuskan sendiri oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam daripada DAP, Steven Sim minggu lalu, sama ada Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan median gaji paling perlahan sejak tahun 2009 dan keempat paling perlahan dalam pertumbuhan median pendapatan isi rumah sejak 2010," katanya.-BH

No comments:

Post a Comment