Tuesday, 9 August 2016
Kerajaan Pulau Pinang dibidas kerana desak SPAD
8 OGOS : Tindakan Kerajaan Pulau Pinang disifatkan tidak adil dalam mendesak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menyegerakan kelulusan bagi pembinaan projek sistem transit aliran ringan (LRT) di negeri itu.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata SPAD perlu diberi ruang dan waktu yang panjang sebelum memberi kelulusan kepada projek LRT yang membabitkan laluan dari Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) ke tiga pulau buatan di selatan negeri itu.
Zainal Abidin berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri memberi tempoh kepada SPAD untuk mempertimbangkan kelulusan projek terbabit sehingga September ini.
“MTPN diberitahu bahawa permohonan dan dokumentasi projek LRT itu sudah diserahkan kepada SPAD pada Mei lalu. Namun, ia tidak bermakna projek itu perlu diberi keutamaan berbanding perkara lain.
“Banyak isu yang perlu dipertimbangkan oleh SPAD, terutamanya membabitkan kepentingan rakyat dan juga ekosistem di Pulau Pinang. Kerajaan negeri tidak boleh desak supaya SPAD bagi kelulusan segera. Ini tidak adil,” katanya pada sidang media pada Isnin.
Tahun lalu, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pelaksanaan projek LRT sulungnya yang dianggarkan bernilai RM4.5 bilion.
Projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIPP) itu akan menghubungkan KOMTAR, Jelutong, Gelugor, Bayan Baru, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), sebelum berakhir di tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment