Monday, 8 August 2016

LEBIH AGRESIF TUNTUT 
KREDIBILITI DAP P. PINANG


Pemimpin UMNO negeri digesa lebih agresif membangkitkan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh kerajaan DAP Pulau Pinang, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini berdepan pelbagai isu pentadbiran yang perlu dijawab khususnya kepada penduduk negeri ini, malah Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri turut berdepan pertuduhan kes rasuah di mahkamah yang menuntut penjelasan.

“Banyak isu yang dibangkitkan berhubung pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang seperti pembinaan terowong, jambatan ketiga, projek rumah kos rendah yang gagal dijawab kerajaan negeri.

“Sebab itu dalam keadaan pembangkang khususnya DAP sering menuding jari kepada kerajaan dalam pelbagai isu, maka pemimpin UMNO juga perlu mendesak mereka menjawab isu-isu yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gelugor di sini hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin turut mengingatkan pemimpin UMNO negeri supaya tidak mudah terpedaya dengan strategi kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menutup kelemahan sendiri dengan mencipta kontroversi baharu.

Beliau mengambil contoh kemelut pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dirancang DAP namun kemudian ditarik semula selepas tidak mendapat persetujuan PKR yang disifatkan cubaan mengalih perhatian rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Pertahanan menggesa ahli-ahli UMNO menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam mengekang ancaman kumpulan pengganas Daesh.

Sambil mengingatkan bahawa Daesh adalah ancaman yang nyata, beliau turut menyifatkan tiada mana-mana negara yang terkecuali daripada menjadi sasaran kumpulan terbabit.

“Sasaran Daesh ini juga melangkaui warna kulit, agama dan fahaman politik, jadi jangan ada mana-mana pihak yang cuba menafikan ancaman kumpulan ini.

“Bagi saya jika ada pihak yang cuba menidakkan ancaman ini, maka mereka perlu bertanggungjawab sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingin di negara ini membabitkan ancaman Daesh ini,” katanya.

Utusan

No comments:

Post a Comment