Monday, 6 June 2016

Projek Mewah Halang Aktiviti Santai Pantai.


GEORGETOWN – Persatuan NGO Pantai mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang membina bangunan mewah berhampiran pantai sehingga menyukarkan orang ramai untuk bersantai di kawasan berkenaan.

Yang dipertuanya, Saiful Lizan Yusof berkata, antara kawasan yang dipenuhi dengan projek mewah tepian pantai adalah Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong.

Menurutnya, pemaju di dua kawasan ini memang tidak membenarkan orang ramai melalui kawasan bangunan mereka sesuka hati dan ada kawasan yang dikunci.

“Hakikatnya pantai adalah hak awam, bukan milik eksklusif yang mereka dapat hanyalah pemandangan laut itu, sementara kawasan adalah milik awam,” katanya.

Beliau berkata, dua tahun lalu penduduk di negeri ini dikejutkan dengan kewujudan Taman Tema Sukan Air yang menggunakan pantai awam di Tanjung Bungah.

Saiful berkata, beliau difahamkan syarikat tersebut membuat pajakan tanah untuk mendapatkan kawasan berkenaan.

“Pada saya ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal kerana itu adalah pantai awam dan sudah semestinya pantai mempunyai rizabnya tersendiri.

“Tetapi penduduk Pulau Pinang bernasib baik kerana taman tema itu tidak berjaya,” katanya.

Katanya, pantai adalah hak orang awam dan sudah tentunya isu itu perlu disuarakan.

“Jika dulu begitu banyak kawasan yang boleh menjadi tumpuan masyarakat untuk berkelah di tepi laut sekitar Daerah Timur Laut, namun sekarang sedikit demi sedikit ia ditutup.

“Jadi kami menggesa supaya kerajaan negeri memandang berat isu ini berikutan jika dibiarkan sahaja pemaju membuat pembangunan tepi pantai lama kelamaan hak penduduk akan hilang,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini antara pantai awam yang masih selesa dikunjungi hanya di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.

-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment