Monday, 6 June 2016

RM12juta Peruntukan Untuk Bantu Usahawan Bumiputera Di Pulau Pinang


KEPALA BATAS – Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) menyediakan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi membantu usahawan bumiputera di negeri itu sejak tiga tahun lepas.

Pengerusi MPBPP Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata peruntukan itu disediakan bagi memudahkan usahawan bumiputera membuat pinjaman bagi menambah pusingan modal serta peralatan untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Yang menarik perhatian, tidak seperti agensi lain yang menyediakan kemudahan pinjaman, kita tidak mempunyai masalah pembayaran balik malah mencapai tahap tertinggi iaitu sebanyak 96 peratus.

“Jadi bila menerima pembayaran balik begitu, kita boleh bagi pula pinjaman pada bumiputera yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2016 (PenBEX) yang berlangsung selama lapan hari bermula 28 Mei lepas di Dataran Transformasi Usahawan Kubang Menerong di sini malam tadi.

Zainal Abidin berkata, pada anjuran kali ini sebanyak 350 gerai pelbagai produk terlibat dan ia sekaligus menunjukkan respons yang baik daripada usahawan di Pulau Pinang.

Sementara itu, beliau berkata sejumlah 100,000 pengunjung dan sebanyak RM1.5 juta hasil jualan berjaya dicatat sepanjang lapan hari penganjuran PenBEX.

“Secara keseluruhannya, kita anggap PenBEX kali ke-15 ini berjaya sekali dan ekspo ini akan diteruskan pada tahun depan bagi memberi peluang pada usahawan bumiputera untuk pamerkan produk mereka di sini,” katanya.

Beliau berharap produk dari usahawan bumiputera bukan saja akan berada di pasaran tempatan malah menembusi pasaran antarabangsa dan menyeru usahawan di luar sana merebut peluang yang telah disediakan.

No comments:

Post a Comment