GEORGETOWN - Kerajaan negeri diminta supaya mematuhi syarat yang ditetapkan jika ingin meneruskan projek kereta kabel ‘Penang Sky Cab’ (PSC) merentasi Selat Pulau Pinang.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Tan Teik Cheng berkata, ia membabitkan isu keselamatan kerana tapak cadangannya terletak atas laluan pelayaran kapal di Pelabuhan Pulau Pinang.
Menurutnya, pandangan itu bukan bermotifkan politik kerana keputusan dibuat selepas mendapat maklum balas tiga agensi iaitu SPPP selaku pihak berkuasa pelabuhan, Jabatan Laut Malaysia dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB).
“Kenyataan media Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam lawatannya ke SPPP 30 Mei lalu adalah selaras seperti ulasan bertulis yang diberikan SPPP kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang (Upen) melalui surat bertarikh 3 Februari.
“Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) / Pengarah Upen, Datuk Abu Jamal Nordin pada 12 Januari, Jabatan Laut Malaysia serta PPSB turut sependapat dengan SPPP dalam hal berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara yang menjadi isu dalam perbincangan adalah berkaitan kedudukan pylon atau tiang nombor 3 yang berada di tengah-tengah laluan perkapalan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri perlu mengemukakan maklumat lengkap mengenai projek yang dicadangkan sebelum sebarang pertimbangan dibuat.
“Mengemukakan maklumat lengkap perlu untuk menentukan sama ada ia boleh diteruskan atau tidak atau dapat dibuat oleh Kerajaan Pusat.
“Sehingga kini tiada sebarang maklumat lengkap berhubung cadangan itu dikemukakan kerajaan negeri kepada Kementerian Pengangkutan atau SPPP,” katanya.
Teik Cheng berkata, jajaran asal projek kereta kabel itu dilihat akan memberi kesan kepada operasi pelabuhan di samping menyukarkan pergerakan keluar masuk kapal di Pelabuhan Pulau Pinang.
Ini kerana sebarang projek yang dirancang perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan industri pelabuhan di Pulau Pinang kerana ia menjadi penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negeri.
Beliau turut menafikan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa Kerajaan Pusat menolak cadangan itu.
“Kenyataan menteri (Tiong Lai) menunjukkan Kementerian Pengangkutan, SPPP dan Jabatan Laut Malaysia tidak menolak PSC malah SPPP menghadiri beberapa siri perbincangan dengan Upen untuk memberi ulasan dan cadangan balas sebagai alternatif menangani isu yang timbul, khususnya berkaitan kedudukan pylon nombor 3 yang menjadi isu utama projek berkenaan.
“Kenyataan Ketua Menteri mendakwa Kerajaan Pusat bersikap seperti penjajah kerana menolak cadangan itu sama sekali tidak wajar,” katanya.
Sebelum ini, Guan Eng menempelak Tiong Lai dengan menggelarnya sebagai penjajah kerana membantah projek PSC.
Menurutnya, Tiong Lai bersikap seperti penjajah apabila berbohong kepada seluruh rakyat dan tidak mengizinkan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pengangkutan alternatif itu.-SH
No comments:
Post a Comment