Saturday, 4 June 2016

JMPP Desak Kerajaan Dap Pulau Pinang Bubarkan Jawatankuasa Transgender PULAU PINANG


Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) menentang tindakan kerajaan Dap negeri Pulau Pinang yang meluluskan jawatankuasa transgender yang dilihat mempuyai agenda untuk memperjuangkan hak kumpulan LGBT di negeri tersebut.

Pengerusi JMPP, Ustaz Hafiz Nordin menganggap tindakan kerajaan Dap Pulau Pinang ini tidak masuk akal dan seolah-olah mahu menyuburkan amalan dan perlakuan LBGT di negeri itu dan di Malaysia secara amnya.

“Tindakan kerajaan Dap yang meluluskan perkara ini hendaklah ditentang oleh rakyat di negeri ini dan Malaysia amnya.

“Kita menentang dan mengecam penubuhan jawatankuasa “gila” ini kerana pertamanya ia adalah bercanggah dengan hukum syarak.

“Yang keduanya ia bercanggah dengan perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Sebarang usaha untuk menghalalkan transgender di negara ini sangat bercanggah dengan Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

“Manakala yang ketiganya ia bercanggah dengan Perlembagaan Pulau Pinang sendiri yang menyebut Islam adalah agama bagi negeri ini,”

Selain itu kata beliau lagi, tindakan kerajaan Dap itu bercanggah dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri yang melarang orang lelaki berpakaian wanita dan seolah-oleh menghina kedudukan Yang Di Pertuan Agung sebagai ketua agama bagi negeri Pulau Pinang.

“Sehubungan itu kami di JMPP mendesak agar jawatankuasa transgender ini dibubarkan dengan serta-merta jika kerajaan Dap Pulau Pinang masih mentaati dan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri Pulau Pinang.

“JMPP mengajak seluruh rakyat agar bangkit menentang dan membantah sebarang niat atau usaha untuk mencabar kesucian Islam atau menggugat kedaulatan Islam di negeri dan negara kita ini,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment