Saturday, 2 April 2016

Serang Shabuddin: Guan Eng terperangkap sendiri.


2 APRIL: Hasrat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng cuba memulangkan paku buah keras kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabuddin Yahaya akhirnya memakan diri sendiri.

Nyata beliau berdendam akibat dimalukan dalam isu pembelian banglo bawah harga pasaran dan menjual tanah di Taman Manggis yang sepatutnya diperuntukkan bagi pembinaan rumah rakyat miskin.



Malangnya, apa dilakukan Shabuddin sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dalam penjualan sebidang tanah awam di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) bawah harga pasaran berbeza dengan apa dilakukan Guan Eng .

Setiausaha Agung DAP itu mendakwa tanah 8.5 ekar ini dipecah milik kepada 18 petak yang mengandungi 256 lot dengan harga jualan R1.427 juta sedangkan tanah dinilai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah RM16.636 juta.

Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa PERDA kehilangan RM15.209 juta kerana menjual tanah tersebut pada harga RM1.427 juta iaitu 8.60 peratus daripada keseluruhan harga pasaran.

Sungguh malu Guan Eng apabila pendedahannya ditempelak Shabuddin sebagai usaha cuba mengalih isu yang sedang membelenggu Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Ini kerana kata Shabuddin , tanah berkenaan memang dipecah kepada beberapa lot kecil sebanyak 240 lot yang diluluskan dalam Pelan Kebenaran Merancang untuk membina rumah kos rendah pada 1988.

“Projek pembangunan ini sudah terbengkalai sejak 30 tahun lalu kerana masalah mendapan. Malah, sebanyak 107 rumah fasa 1 yang sudah dibina di terpaksa dirobohkan,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang, semalam menjawab tohmahan Guan Eng.

Beliau berkata, selepas membuat kos analisa keuntungan, projek ini dilihat sebagai liabiliti untuk dibangunkan yang mana PERDA akan menanggung kerugian sebanyak RM10 juta jika diteruskan.

“PERDA memutuskan bahawa hasil jualan tanah itu hendaklah digunakan untuk membeli tanah ganti di dalam kawasan SPS dan terkini kami sudah pun berurusan untuk membeli sebidang tanah berkeluasan 4.8 hektar untuk membina lebih banyak rumah kos rendah,” katanya.

Harga seunit rumah kos rendah yang diperuntukkan adalah antara RM42,000 dan rm47,000 manakala harga mampu milik RM200,000.

Sekiranya PERDA menjual tanah itu pada harga pasaran RM16 juta, bermakna pemaju hanya boleh membina rumah antara RM400,000 hingga RM600,000 seunit paling murah.

Mampukah penduduk miskin di Pulau Pinang membelinya?


SHABUDDIN

Jelas, PERDA memilih untuk menanggung rugi asalkan rakyat diberikan peluang memiliki rumah sendiri dengan meletakkan keuntungan perkara kedua bukan seperti Guan Eng yang mengutamakan keuntungan berbanding rakyat miskin.

Lihat sahaja bagaimana beliau menjual tanah di Taman Manggis dengan harga RM11 juta kepada sebuah syarikat yang kemudian memindah milik tanah itu kepada pihak ketiga.

Ambil kira nilai semasa tanah itu RM20 juta, bermakna syarikat asal yang membeli tanah daripada kerajaan negeri itu untung atas angin RM9 juta.

Nasihat kepada Guan Eng, lebih baik selesaikan urusan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membersihkan nama sekiranya tidak bersalah dalam isu banglo dan tanah Taman Manggis .

Jangan untuk melepas diri atau mengalih isu, beliau menembak orang lain seperti menyerang Shahbuddin dan PERDA tetapi akhirnya ‘tertembak kaki sendiri.’

No comments:

Post a Comment