Monday, 15 February 2016

Pemuda P.Pinang Tekad Suburkan Perjuangan Anak Muda

TASEK GELUGOR, 15 Feb – Pada 11 Mei 2016 UMNO bakal berusia 70 tahun maka sudah pasti mesyuarat cawangan yang bermula 15 Mac ini bakal lebih bermakna bagi memastikan UMNO terus utuh di hati rakyat seterusnya menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) yang menjadi peneraju negara.

Bagi negeri Pulau Pinang di mana UMNO menjadi pembangkang setelah tewas kepada Dap pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, sudah pasti cabaran untuk mengembalikan parti keramat ini di hati rakyat lebih getir tetapi ia bukan satu halangan bagi mendekati pengundi terutamanya golongan muda.
Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Nashrol Hisham Abdullah, pelbagai program dan pendekatan diatur demi memastikan UMNO terus mesra bersama golongan muda.
Jelasnya pada usia 70 tahun, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk menggambarkan bahawa UMNO tidak memahami jiwa golongan muda.
Oleh itu tambah beliau pelbagai fitnah dan cubaan dilakukan bagi memesongkan pandangan anak muda terhadap UMNO.
“Kami di Pulau Pinang sentiasa berusaha untuk memastikan UMNO terus dapat mempertahankan sekaligus menambah bilangan kerusi pada PRU akan datang.
“Memang sukar tetapi inilah cabaran kepada Pergerakan Pemuda sebagai sayap parti keramat UMNO. Saya juga berharap agar ahli UMNO khususnya golongan muda akan hadir beramai-ramai pada mesyuarat cawangan yang bakal bermula 15 Mac ini.
“Berilah idea-idea yang bernas agar kita sama-sama dapat membantu parti. Jangan pula kita menjadi dalang untuk melemahkan parti kerana bila kita bercakaran maka yang untung adalah parti lawan,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Nashrol yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor, sekarang ini sudah wujud gerakan-gerakan untuk ‘membeli’ ahli UMNO bagi tujuan merosakkan mesyuarat cawangan.
“Sebagai ahli UMNO, kita harus terus setia kepada parti dan jika ada pandangan yang berbeza, ianya diselesaikan secara kekeluargaan”, katanya.
Apa yang penting jelas beliau lagi, semua pihak harus mengenepikan masalah dalaman dan meletakkan perjuangan parti di hadapan demi kemenangan pada PRU-14 nanti.
“Perlu di ingat, sebagai golongan muda sudah pasti darah muda itu sentiasa bergelodak. Bila ada golongan yang tidak bertanggungjawab cuba menaikkan darah muda untuk memberontak maka kita perlu berfikir secara positif dan jangan cepat melatah.
“Jangan sesekali kita terikut dengan tipu muslihat pembangkang. Kita perlu lihat kembali pentadbiran Dap sepanjang menjadi kerajaan negeri… tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Janji manifesto mereka juga hingga kini tidak tertunai.
“Oleh itu kita perlu berus berusaha menyakinkan rakyat khususnya di negeri ini bahawa hanya BN yang sentiasa berpegang pada janji dan mendengar suara nadi rakyat,” katanya lagi. – MediaUMNO
http://www.umno-online.my/2016/02/15/umno-70-tahun-pemuda-p-pinang-tekad-suburkan-perjuangan-anak-muda/?utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter

No comments:

Post a Comment