Indonesia merancang membuka sempadan kepada rakyat asing pada November sebaik 70% penduduk yang disasarkan telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin, kata Menteri Kesihatannya Budi Gunadi Sadikin.
Dalam wawancara bersama Reuters, Budi berkata beliau melihat strategi Britain yang mengutamakan suntikan dos vaksin pertama, seterusnya mengurangkan kadar kemasukan ke hospital serta kematian.
“Jadi kami memfokuskan terhadap dos pertama. Jika kita dapat memvaksin 70% penduduk disasarkan seramai 208 juta, jika dapat mencecah angka 140-150 juta atau 70% dengan suntikan dos pertama, kita boleh mula membuka (sempadan) sedikit demi sedikit,” katanya.
“Mengikut kiraan saya ini dapat dicapai menjelang November.”
Kenyataannya itu kali pertama seorang menteri kanan negara itu memberikan tarikh nyata secara terbuka untuk membuka semula sempadan Indonesia.
Hanya warga asing yang mempunyai visa diplomatik atau kerja, atau layak untuk pengecualian lain, dibenarkan memasuki Indonesia.
Budi berkata, sekatan sempadan akan dilonggarkan lebih lanjut sebaik 70% penduduk sasaran telah disuntik dua dos vaksin.
Kabinet juga membayangkan pulau percutian Bali bakal dibuka semula, namun belum memberikan tarikh jelas.
Indonesia merekodkan lebih 4.1 juta kes jangkitan dan 139,000 kematian akibat Covid-19. Bagaimanapun, kadar kebolehjangkitannya telah menunjukkan penurunan, dari 31% pada lewat Julai kepada hanya 2% pada Selasa.
Sekatan pergerakan sosial dilaksanakan sejak awal Julai namun semakin banyak kelonggaran dibenarkan dengan pusat beli-belah, restoran, panggung wayang serta kilang boleh beroperasi bersertakan syarat tertentu.
No comments:
Post a Comment