Sunday, 23 May 2021

Unit Rawatan Rapi Medan (Field ICU) Hospital #KepalaBatas (HKB) beroperasi Selasa ini #covid19

 

Unit Rawatan Rapi Medan (Field ICU) yang telah siap dibina di Hospital Kepala Batas (HKB) di sini dijangka menerima pesakit bagi rawatan kritikal Covid-19 bermula Selasa ini.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi berkata, pihaknya telah menerima pengesahan daripada bomba dan agensi kawalan penyakit iaitu Unit Kawalan Penyakit Berjangkit untuk memulakan operasi.

“Jadi, bermula pagi Selasa kita akan mula menerima pesakit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan teknikal ke Field ICU itu di Kepala Batas di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd. Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh.



Field ICU berkenaan yang menempatkan 27 buah katil di dalam tiga kontena dan khemah yang dibina dengan konsep hibrid.

Selain di Pulau Pinang, wad hospital medan juga telah dibina di Sabah, Sarawak dan Kedah.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, pihaknya turut menerima permohonan daripada beberapa negeri lain untuk menubuhkan wad itu termasuk di Negeri Sembilan dan Kelantan.

Beliau berkata, KKM akan melihat dari segi keperluan untuk menambah bilangan Field ICU selain melakukan tinjauan jika masih ada ruang dan lokasi yang sesuai untuk tujuan itu.

“Sebenarnya, kita ketika ini masih lagi menghadapi masalah kekurangan terutamanya dari segi petugas kesihatan dan sebagainya.

“Jadi, kita buka peluang kepada mana-mana pihak swasta atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk membantu apa yang perlu,” ujarnya. – K! ONLINE


No comments:

Post a Comment