Oleh Malinda Abdul Malik Malaysian Gazette
Magdalena mengutip barang terpakai serta kotak dari tong sampah untuk dijual sambil diperhatikan anak lelakinya, Choong Yee,3 tahun di kawasan perumahan mereka di Jalan Lenggong, Jelutong di sini.
GEORGE TOWN – “Punggah tong sampah pada jam 5 pagi merupakan rutin harian saya demi sesuap nasi buat keluarga”.
Itulah keperitan yang dilalui seorang wanita bagi memastikan suaminya yang diserang angin ahmar serta dua anaknya tidak kelaparan.
Menurut Magdalena Herkules Manalu, 39, kehidupan dia dan dua anaknya berusia tiga dan sembilan tahun itu berubah selepas suaminya, Choong Nai Fatt, 44, terlantar atas katil dan memerlukan pengawasan penuh susulan menjalani pembedahan di kepala akibat diserang angin ahmar pada Disember lalu.
Jelas wanita yang kini hamil tujuh bulan itu, dia tiada pilihan selain menyelongkar tong sampah bagi mendapatkan barang terpakai untuk dijual di pasar karat sebagai sumber pendapatan harianya.
Hasil kutipan barang terpakai dan kotak dalam tong sampah menjadi sumber pendapatan Magdalena sekeluarga.
“Pada jam 5 pagi saya akan punggah tong sampah dan hasil daripada itu akan dijual di pasar karat. Saya tidak boleh mengambil masa yang lama untuk berniaga kerana perlu menyedut kahak suami setiap tiga jam selain memberikan makanan menerusi tiub yang disalurkan melalui hidung.
“Anak saya masih kecil dan tidak mampu melakukannya sekali gus menyebabkan saya tidak boleh mencari kerja lain untuk menyara keluarga,” katanya yang kini tinggal di rumah pusaka ibu mertuanya di Jalan Lenggong, Jelutong di sini.
Menceritakan nasib yang dialami, wanita berasal dari Medan, Indonesia itu memberitahu, pendapatan harian yang tidak menentu pernah mengakibat mereka sekeluarga terputus bekalan makanan.
“Kadang-kadang saya dapat RM20, namun ada hari pendapatan saya tidak cecah RM5 ini menyebabkan urusan menyara keluarga terkesan. Nak mengharapkan belas kasihan daripada keluarga suami jauh sekali kerana mereka mengabaikan kami selepas mengetahui suami terlantar sepenuhnya.
“Setiap hari saya hanya mampu berikan nasi berlaukkan sayur kepada anak-anak dan sekiranya ada hasil lebih telur saja menjadi makanan tambahan kami. Sudah berbulan, kami tidak rasa lauk ayam mahupun ikan malah, setiap kali anak memintanya saya terpaksa mengaku diri ini tidak mampu menyediakannya.
“Ramai beranggapan saya terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 setiap bulan mampu menguruskan keluarga, namun mereka tidak tahu suami perlu minum susu khas dan setin susu bernilai RM90 itu untuk kegunaan selama dua hari,” ujarnya.
Suami Magdalena tidak boleh tinggalkan dalam tempoh yang lama tanpa pengawasan daripadanya.
Magdalena yang sudah mendirikan rumahtangga bersama suaminya sejak 10 tahun itu turut meluahkan rasa kebimbangannya untuk menguruskan keluarga ketika dia melahirkan anak kelak kerana tidak mempunyai saudara mara di sini.
“Sebelum ini, saya tidak pernah minta bantuan apa-apa tetapi kini saya tiada jalan selain mengharapkan belas kasihan daripada orang ramai bagi meneruskan kehidupan kami sekeluarga,” katanya.
Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubungi Magdalena di talian 016-4000433. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment