Lebih 300 penduduk penempatan semula Tanjung Tokong Fasa 4A akan berpindah ke rumah baharu mereka yang diberikan percuma oleh UDA Holdings Berhad (UDA), sebuah syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Menerusi satu kenyataan dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini, Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata proses pemindahan itu harus dilakukan dengan segera, agar penduduk dapat mendiami kediaman yang lebih selesa dan selamat, khususnya di waktu pandemik COVID-19.
“Keadaan rumah yang didiami sekarang oleh penduduk yang terlibat pun sudah usang, maka sepatutnya mereka pindah ke rumah baharu dengan kadar segera. Di dalam mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga meminta untuk dipercepatkan pemindahan ini pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan khususnya pada waktu mencabar ini,” katanya.
Wan Junaidi berkata projek penempatan semula masyarakat sekitar Tanjung Tokong yang diterajui UDA sejak 1972 itu, dilihat sebagai satu usaha yang membanggakan dalam membantu masyarakat khususnya golongan Bumiputera di Tanjung Tokong, untuk memiliki kediaman lebih teratur dan selesa terutama sekali di tengah bandar Pulau Pinang, di mana nilai hartanahnya sangat tinggi.
“Harga hartanah di Pulau Pinang memang di luar kemampuan masyarakat bumiputera. Syabas kepada UDA kerana usaha ini membolehkan mereka memperoleh hartanah di kawasan strategik. Secara kasar, harga pasaran seunit Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A ini bernilai sekitar RM400,000,” tambahnya.
Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang mula dibangunkan pada 27 Okt 2014 adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA, dalam membangunkan bandar serta menyediakan penempatan semula bagi masyarakat bumiputera di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang dibangunkan oleh UDA Land (North) Sdn Bhd, anak syarikat UDA itu menampilkan pangsapuri tiga bilik dengan dua jenis keluasan iaitu 850 dan 800 kaki persegi.
Terdapat lima buah blok pangsapuri enam tingkat dengan jumlah keseluruhan 210 unit (850 kaki persegi) dan lima buah blok pangsapuri sembilan tingkat berjumlah 340 unit rumah (800 kaki persegi) di lokasi strategik, dengan pelbagai kemudahan di sekitarnya seperti pasaraya TESCO, pusat beli-belah, masjid dan sekolah.
Pembangunan yang terletak di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang itu dibina atas tanah berkeluasan 8.0 ekar, dan menelan belanja sebanyak RM84 juta.
Sementara itu Pengerusi UDA Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata UDA kini dalam dalam proses penyerahan kunci rumah baharu kepada penduduk Tanjung Tokong Fasa 4A terbabit.
“Inisiatif ini dilihat bertepatan pada waktu pandemik COVID-19 dalam membantu penduduk terlibat mendiami rumah yang lebih kondusif dan selesa.
“Sebelum menerima kediaman tetap ini, penduduk mendiami penempatan sementara rumah panjang yang disediakan oleh UDA. Kawasan tersebut lebih padat berbanding rumah baharu pangsapuri ini, jadi pihak kerajaan berharap usaha ini dapat meringankan beban mereka dalam mendepani waktu mencabar ini,” katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment