Sunday 14 February 2021

Maritim Pulau Pinang tahan bot nelayan yang diusahakan pelarian Rohingya


GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah bot nelayan tempatan yang diusahakan etnik Rohingya di kedudukan 7.3 batu nautika tenggara Pulau Rimau, dekat sini petang semalam.


Menurut Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed, bot nelayan tempatan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika rondaan Op Benteng Laut dan Op Pertiwi pihaknya pada pukul 6.30 petang.


Jelas beliau, pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran sah itu dikendalikan tiga kru warga Myanmar etnik Rohingya termasuk tekong berusia antara 24 hingga 33 tahun.


“Kesemua mereka memiliki kad UNHCR yang sah, namun tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Menurut Abd. Razak, bot dan tahanan itu dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia negeri di sini bagi proses saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.


Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat dalam lesen yang dikeluarkan yang mana bot tidak diusahakan sendiri dan menggaji kru asing tanpa kebenaran.


“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan kompaun tidak kurang RM500,” katanya.


Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai dan persatuan nelayan memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.


Katanya, sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di 04-2626146. – UTUSAN ONLINE

1 comment: