Seorang peniaga didenda RM8,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menghantar gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp kepada seorang wanita empat tahun lalu.
Keputusan itu dijatuhi Hakim Noor Aini Yusof selepas tertuduh, Chang Yoon Siong, 31, mengaku bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Bagi setiap pertuduhan, dia didenda sebanyak RM1,600 dan jika gagal membayar, tertuduh akan dipenjara sebulan.
Mengikut pertuduhan, lelaki dari Puchong, Selangor itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah ke nombor telefon seorang wanita berusia 46 tahun dengan niat untuk menyakitkan hatinya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu menerusi lima kiriman WhatsApp dengan gambar sebanyak dua kali pada pukul 1.11 pagi dan tiga kali pukul 5.32 petang pada 8 Januari 2017 ketika wanita itu di rumahnya di Taman Aman Jaya, Bukit Mertajam di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalaham itu mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment