Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menyerbu dua kilang yang dipercayai membungkus semula minyak masak bersubsidi untuk dijual pada harga lebih mahal di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, di sini, hari ini.
Dalam serbuan dengan kerjasama polis itu, sebanyak 7,771 plastik minyak masak bersubsidi dan 617 botol minyak masak dianggarkan bernilai RM27, 000 dirampas manakala pemilik dan pekerja kilang terbabit ditahan untuk soal siasat.
Menurut Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghappar, serbuan jam 2 petang itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak dua bulan lepas.
Beliau berkata siasatan mendapati kilang itu beroperasi sejak tiga tahun lepas dan membungkus semula minyak masak bersubdisi ke dalam botol sebelum diedarkan ke kedai-kedai runcit di sekitar kawasan itu.
Selain itu, premis itu juga didapati melakukan kesalahan lain iaitu membungkus bahan rempah ratus menggunakan logo halal tanpa kebenaran.
"Kita syaki mereka telah memindahkan minyak masak bersubsidi yang dibeli dengan harga RM2.50 sekilogram ke dalam botol minyak masak dua atau lima kilogram dan dijual pada harga pasaran yang tidak dikawal.
"Pihak syarikat telah ambil kesempatan susulan situasi semasa di mana harga minyak masak dunia telah meningkat dan mereka telah ambil jalan mudah mengaut keuntungan dengan melakukan penyelewengan," katanya di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Perkara 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan penandaan Halal) 2011.
No comments:
Post a Comment