Monday, 1 February 2021

Aksi tarian separuh bogel, ustazah tegur muzik video Ayda Jebat

 


Seorang pendakwah mengkritik sebuah video muzik seorang penyanyi wanita yang menampilkan penari separuh bogel dengan lenggok yang gairah seperti tarian lucah.


Ustazah Asma’ Harun berkata, klip muzik yang dihasilkan oleh artis Melayu beragama Islam itu “satu musibah ummah yang parah” ketika dunia masih bergelut melawan pandemik Covid-19.

“Kalian menghasilkan sebuah video klip muzik yang menampilkan penyanyi dan penari iringan yang separuh bogel, dengan rentak dan lenggok tarian yang menggairahkan seperti tarian lucah, maaf ia sungguh memalukan,” catatnya di Facebook.


“Kalian bangga menjadi Top 10 YouTube, bangga dengan maksiat yang dilakukan secara terbuka, bangga menjatuhkan maruah wanita Islam, bangga menambahkan koleksi si pemuas nafsu?”



Tidak menamakan individu, namun di ruangan komen ramai beranggapan kenyataan itu ditujukan kepada klip video terbaru Ayda Jebat bertajuk Parah Parah.



Video berdurasi 3 minit 51 saat yang dilancarkan di YouTube sejak bulan lalu kini mencecah 1.5 juta tontonan.


Ustazah Asma’ turut menggesa Ayda memadamkan video itu daripada media sosial kerana baginya tidak wajar dari sudut Islam dan adat Melayu.


“Semoga dirimu kuat untuk padam video tersebut, sebelum ia mengambil bahagian tenang hidupmu, saat tidur malam, dosa masih berjalan.


“Saya pasti kos penghasilannya sangat tinggi, kerugian tak boleh lari, namun ia amat berbaloi untuk nilai syurga-Nya,” katanya.

Projek MM

No comments:

Post a Comment