Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengecam kerajaan Kedah yang membatalkan cuti umum Thaipusam yang sepatutnya disambut pada 28 Jan ini.
Dalam kenyataan yang dilaporkan oleh Malaysia Kini yang dikeluarkan semalam, Ramasamy berkata dengan pembatalan sambutan perayaan berkaitan Thaipusam kerana Covid-19 bukan bermakna tiada keperluan untuk cuti umum.
Semalam media melaporkan Kedah membuat keputusan untuk membatalkan cuti umum sempena Thaipusam tahun ini kerana semua aktiviti bersempena perayaan itu tidak dibenarkan selaras dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Tidak ada cuti peristiwa. Oleh kerana tidak ada perayaan tahun ini, tidak ada cuti umum,” kata Sanusi.
Untuk rekod Thaipusam merupakan cuti peristiwa untuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor. Bagaimanapun negeri lain tidak membatalkan cuti berkenaan walaupun larangan sambutan itu turut dikenakan di negeri terbabit.
Ramasamy berkata walaupun pelbagai bentuk perayaan dibatalkan, ia tetap tidak menafikan kepentingan Thaipusam.
"Thaipusam tidak terbatal dengan adanya pembatalan sambutan, sebaliknya akan tetap dirayakan secara terkawal di rumah. Malangnya Sanusi gagal memahami logik yang sederhana.
"Dia tidak memiliki kefahaman untuk memisahkan antara pembatalan acara yang berkaitan dengan Thaipusam dengan cuti sempena acara tersebut.
"Pandemik ini hanya membatalkan acara yang berkaitan dengan Thaipusam, tetapi bukan kepentingan festival keagamaan itu sendiri.
"Justeru mengapa dia harus membatalkan cuti atau cuti sempena Thaipusam? Ini bukan urusan dia,” kata Ramasamy.
No comments:
Post a Comment