Saturday, 2 January 2021

JPJ kaji cadangan remaja tunggang motosikal bawah 70cc

 

 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti cadangan polis yang mahu syarat lesen memandu dipinda dengan memastikan pemilik berusia 16 hingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal kategori bawah 70cc menjelang 2025.

Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya dan Jabatan Kerja Raya sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saranan itu dilakukan berikutan peningkatan kes kemalangan dan kadar kematian penunggang motosikal berkuasa besar melibatkan remaja 16 hingga 20 tahun,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis bercadang mengkategorikan permohonan lesen baru yang mensyaratkan individu 16 hingga 20 tahun hanya menunggang motosikal berkuasa 70cc ke bawah menjelang 2025.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ akan melancarkan sistem MyQ yang mampu mengurangkan kesesakan ketika pelanggan berurusan di kaunter dan projek rintis akan dilaksanakan pertengahan bulan ini di cawangan JPJ terpilih.


Ini katanya, antara usaha pendigitalan jabatan itu sejajar amalan norma baru dan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

No comments:

Post a Comment