KUALA LUMPUR : Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, mengumumkan dia kini sedang hamil empat bulan.
Pengumuman tersebut dibuat olehnya ketika siaran langsung sidang media pelancaran Beausiti X Wonderlab yang diadakan secara virtual sebentar tadi.
Berita baik tersebut sekali gus mengesahkan teka-teki peminat yang selama ini mendoakan agar penyanyi tersebut hamil anak kedua.
“Alhamdulilah, ramai yang mendoakan dan juga boleh agak. Saya mendiamkan diri dan duduk di rumah.
“Saya berdoa diberikan kesihatan dan kekuatan. InsyaAllah, doakan saya dapat melahirkan anak yang sihat dan sempurna,”katanya.
Dalam pada itu, Siti juga memuat naik gambar di Instagramnya mengumumkan tentang berita kehamilannya itu.
“Alhamdulillah. Hari ini 1 Disember 2020, saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang sudah pun berusia 4 bulan.
“Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan ini namun saya dan suami berfikir, apabila tiba waktu yang sesuai, kami tetap akan berkongsi berita ini dengan semua, terutamanya keluarga, saudara mara, sahabat handai, para peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali kami.
“Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi di dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya ke depan ini sehinggalah saat melahirkan nanti,”katanya.
– UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment